Skip to main content

Iklan

Iklan

61 individu didenda langgar peraturan COVID-19 di taman, pantai

Sepanjang hujung minggu lalu, 61 individu didenda kerana melanggar peraturan COVID-19 di pantai dan taman awam, menurut Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) pada Jumaat (18 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
61 individu didenda langgar peraturan COVID-19 di taman, pantai

Suasana di Taman East Coast pada 9 Mei 2021. (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 18 Jun 2021 11:09PM Dikemas Kini : 18 Jun 2021 11:11PM

SINGAPURA: Sepanjang hujung minggu lalu, 61 individu didenda kerana melanggar peraturan COVID-19 di pantai dan taman awam, menurut Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) pada Jumaat (18 Jun). Ia juga menyatakan akan ada lebih banyak pemeriksaan bagi memastikan perniagaan makanan dan minuman (F&B) mematuhi undang-undang.

MSE turut mengingatkan para pengendali F&B supaya menuruti peraturan dengan tegas apabila khidmat menjamu selera di premis disambung semula mulai Isnin depan, termasuk:

  • Memastikan kumpulan pelanggan berada dalam jarak sekurang-kurangnya 1 meter, berdasarkan jarak antara kerusi mereka
  • Tidak membenarkan masuk kumpulan melebihi dua orang sekalipun jika mereka dibahagikan kepada beberapa meja. Kumpulan individu boleh duduk di beberapa meja berasingan dengan dua orang di setiap meja sekiranya mereka serumah
  • Menghindari pelanggan daripada bergaul antara kumpulan
  • Tidak menjual minuman keras atau membenarkan ia diminum selepas jam 10.30 malam
  • Tidak membenarkan mana-mana pekerja atau pelanggan menyanyi, menyediakan hiburan secara langsung atau bermain permainan

Berikut adalah antara denda yang boleh dikenakan:

  • Orang ramai didapati melanggar peraturan keselamatan di cawangan F&B buat kali pertama akan dikenakan denda S$300
  • Pesalah berulang akan dikenakan denda lebih tinggi atau didakwa di mahkamah atas kes teruk seperti dengan sengaja tidak mengendahkan peraturan
  • Pengendali F&B akan diarahkan ditutup bagi kesalahan kali pertama dan ini akan berkuat kuasa apabila ia dibenarkan dibuka semula untuk pelanggan duduk makan di premisnya pada 21 Jun. Misalnya, jika perniagaan itu gagal memastikan kumpulan pelanggan duduk dengan jarak sekurang-kurangnya 1 meter, ia akan diminta supaya ditutup

Bagi perniagaan hiburan malam yang dibenarkan untuk menjalankan operasi F&B, MSE memberi amaran bahawa agensi-agensi pemerintah "berhak" membatalkan lesen-lesen kedai makan, hiburan awam atau minuman keras buat selama-lamanya jika mereka melanggar mana-mana peraturan COVID-19, sekalipun ia adalah kesalahan kali pertama.

Di bawah peraturan sekarang, perniagaan itu dilarang daripada menggajikan pelayan, menganjurkan hiburan secara langsung atau membenarkan pelanggan untuk bermain permainan di premisnya.

BEBERAPA KEMUDAHAN TAMAN TERUS DITUTUP

Agensi-agensi pemerintah juga akan mempertingkatkan penguatkuasaan di tempat-tempat yang dikenal pasti sebagai popular selain perniagaan F&B, berdasarkan maklum balas awam dan pemerhatian oleh para pegawainya, menurut MSE.

Tempat-tempat popular ini termasuk taman, pantai, kawasan kegunaan bersama di estet perumahan awam seperti gelanggang bola keranjang dan astaka.

Semua kawasan permainan air, kemudahan rekreasi air, tapak perkhemahan dan pit barbeku di taman serta kebun yang diuruskan oleh Lembaga Taman Negara (NParks) akan terus ditutup sehingga makluman selanjutnya.

“NParks akan menutup buat sementara waktu akses kepada sesetengah taman, bahagian pantai, kawasan rumput dan kemudahan - seperti gelanggang, tempat berteduh dan tempat letak kereta - apabila kawasan-kawasan ini menjadi terlalu sesak atau apabila orang ramai terus tidak mematuhi langkah pengurusan selamat. Ini, jelas MSE, bagi memastikan taman-taman kekal selamat untuk setiap orang.

Ia juga menasihati orang awam supaya memeriksa portal Safe Distance@Parks untuk mengetahui tahap kesesakan sebelum melakukan perjalanan ke taman. 

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan