Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama ... Martyn Danial Hazwan Armada

Siapa sangka atlit berbadan tegap dan berotot kekar ini sebenarnya takut dengan cicak! Malah, yang menggerunkannya bukan yang besar tetapi yang bersaiz kecil.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama ... Martyn Danial Hazwan Armada

Gambar-gambar: Martyn Danial Hazwan Armada

Diterbitkan : 20 Mar 2018 08:08PM Dikemas Kini : 21 Mar 2018 04:59PM

BERITAMedicorp: Siapa sangka atlit berbadan tegap dan berotot kekar ini sebenarnya takut dengan cicak! Malah, yang menggerunkannya bukan yang besar tetapi yang bersaiz kecil.

Itulah hakikat yang melucukan di sebalik wajah gah atlit sukan gimnastik negara, Martyn Danial Hazwan Armada, 23 tahun.

Tahun lalu, sempena persiapannya bagi Sukan SEA ke-29, BERITAMediacorp memaparkan kisah penuh inspirasi tentang perjalanan anak muda ini sepanjang 15 tahun mengharungi onak dan duri demi mencapai matlamat mewakili Singapura dalam termasya tersebut.

Bekas pelajar Raffles Institution ini sanggup menangguhkan peperiksaan GCE A semata-mata untuk berlatih sepenuh masa. Namun beliau hanya diambil sebagai anggota simpanan pada Sukan SEA 2015.

Namun, berbekal tekad yang jitu, Martyn terus mengatasi pelbagai kecederaan dan akhirnya berpeluang mengharumkan nama negara dalam keenam-enam kategori acara perseorangan di Kuala Lumpur tahun lalu.

Dalam segmen 5 Soalan Bersama … Martyn Danial minggu ini, wartawan Said Mahadi bersembang dengan Atlit berwajah tampan itu untuk mengenali pelajar jurusan Sains Sukan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu, berhubung keperibadiannya yang jarang dikongsi, di sebalik penampilan seriusnya.

SOALAN 1

Said: Biasanya Martyn Danial kelihatan gagah dan berani di media sosial tetapi apakah yang menakutkan anda sebenarnya?

Martyn: Saya sebenarnya sangat takut dengan cicak! Tetapi hanya yang berkeliaran di rumah, bukan yang bersaiz besar. Namun, secara seriusnya, saya betul-betul takut untuk mengecewakan mereka yang saya sayangi. Itulah yang mendorong saya dalam apa sahaja yang saya lakukan dan secara keseluruhannya dalam kehidupan saya.

SOALAN 2

Said: Kongsi dengan kami impian anda sebagai seorang atlit?

Martyn: Saya ingin mempengaruhi generasi pelapis sukan gimnastik. Saya ingin membuktikan kepada mereka bahawa mereka masih boleh bergiat dalam sukan gimnastik selepas menjalani Perkhidmatan Negara. Saya juga ingin menjadi inspirasi kepada mereka di sekeliling saya. Saya ingin menunjukkan kepada mereka bahawa kita sentiasa mempunyai masa untuk melakukan sesuatu yang amat diminati meskipun mempunyai jadual yang sibuk.

SOALAN 3

Said: Sekiranya seseorang itu ingin berkecimpung dalam sukan gimnastik, apakah nasihat anda?

Martyn: Cuba sahaja! Sukan gimnastik sesuatu yang unik dan ‘cool’. Anda akan berdaya mengawal badan anda dengan lebih baik lagi selepas melakukannya dan ia adalah senaman yang baik. Tiada batasan usia untuk mencuba sesuatu yang baru!

SOALAN 4

Said: Selain gimnastik, boleh anda kongsi minat anda yang lain dan mengapa?

Martyn: Buat masa ini, saya memang sangat meminati sukan secara keseluruhannya. Saya berpandangan bahawa sukan menyatukan masyarakat. Oleh itu, saya berkawan dengan teman-teman di universiti dengan bermain pelbagai sukan sambil bersembang bersama.

SOALAN 5

Said: Apakah tiga barang yang anda harus bawa bersama ke mana sahaja anda pergi?

Martyn: Sudah tentu sekali fon telinga saya, telefon bijak saya dan jam tangan saya. Saya mesti mendengar muzik terutama sekali apabila saya dalam perjalanan ke mana-mana. Ia membolehkan saya berehat seketika daripada kehidupan yang sibuk. Saya juga perlukan telefon bijak saya untuk memainkan musik kegemaran saya. Ia juga bagi saya berhubung dengan teman-teman saya melalui media sosial. Saya juga selalu memakai jam tangan ke mana juga saya pergi. Ia adalah aksesori yang baik dan selalu mengingatkan saya bahawa masa tidak menantikan sesiapa pun.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan