5 pengunjung Blok 115,116 Bukit Merah View diuji positif COVID-19
Lima pengunjung ke pasar Bukit Merah View dan sebuah blok berhampiran diuji positif COVID-19, dedah Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (16 Jun).

Blok 116 Bukit Merah View. (Gambar: Try Sutrisno Foo)
SINGAPURA: Lima pengunjung ke pasar Bukit Merah View dan sebuah blok berhampiran diuji positif COVID-19, dedah Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (16 Jun).
Dalam satu kemas kini mengenai operasi ujian yang dijalankan di sana, MOH menyatakan ia selesai mengendalikan ujian wajib tindak balas rantai polimerase (PCR) di kawasan tersebut pada Selasa (15 Jun).
Secara keseluruhannya 3,387 individu yang mengunjungi Blok 115 dan 116 Bukit Merah View "tampil ke hadapan secara sukarela" untuk duji bagi COVID-19.
Blok 115 merujuk kepada Pusat Makanan dan Pasar Bukit Merah View manakala Blok 116 adalah blok di sebelahnya.
Dalam kalangan pengunjung yang diuji swab 2,365 orang diuji negatif sementara lima diuji positif manakala hasil ujian lagi 1,017 belum diketahui.
Kementerian itu menambah bahawa kesemua 144 pemilik, penyewa dan kakitangan gerai serta unit komersil di Blok 116 diuji bagi COVID-19. Mereka semua diuji negatif.
Selain itu, MOH menyatakan 239 kakitangan dan penyewa yang bekerja di 115 Pasar dan Pusat Makanan Bukit Merah View dari 25 Mei sudah dikenakan kuarantin sejak 12 Jun.
"Sejauh ini, 14 orang diuji positif," menurut kementerian itu.
Dalam satu kemas kini berasingan tentang keadaan COVID-19 di Singapura pada Rabu malam, MOH menyatakan bahawa kelompok di Bukit Merah View bertambah menjadi 39 kes dengan lagi 14 kes pada Rabu malam, kebanyakannya pekerja gerai atau kontak isi keluarga mereka.
Ini termasuk mereka yang dikesan menerusi ujian ke atas pengunjung Blok 115 dan 116 Bukit Merah View:
- Seorang pemandu teksi Singapura, 64 tahun, yang sering mengunjungi pusat makanan dan pasar itu.
- Seorang persara wanita 84 tahun yang merupakan kontak serumah kes sebelum ini.
- Seorang wanita Singapura, 49 tahun yang bekerja sebagai penyelaras penjualan di Gold Lite.
14 kes dalam kelompok itu membentuk sejumlah besar 16 kes baru COVID-19 yang berkait pada Rabu.
1 KES POSITIF DARI UJIAN DI ION ORCHARD
MOH juga menyatakan ia sudah selesai operasi ujian swab di pusat beli-belah Ion Orchard dan mengesan seorang pengunjung yang diuji positif COVID-19.
Dalam kalangan 11,395 pengunjung yang tampil untuk diuji secara sukarela 10,248 orang diuji negatif sementara hasil ujian lagi 1,146 individu belum diketahui.
Kementerian itu menambah kesemua 3,464 kakitangan dan pengunjung yang menjalani ujian wajib diuji negatif.
Pada Rabu, Singapura melaporkan 24 kes jangkitan baru COVID-19 di mana 19 daripadanya adalah kes dalam masyarakat, 13 daripadanya berkait kelompok Bukit Merah. Mereka termasuk pelajar di CHIJ St Theresa's Convent dan seorang lagi di Sekolah Gan Eng Seng. Juga terdapat dua penolong gerai yang bekerja di kantin Sekolah Rendah Zhangde dan Tiong Bahru Yong Tau Hu di 56 Eng Hoon Street.
Tiga jangkitan tidak berkait mana-mana kes sebelum ini termasuk seorang pesara wanita berusia 85 tahun.
Terdapat juga lima kes import dengan dua daripadanya warga Singapura atau penduduk tetap.
Tiada kes baru dilaporkan di dormitori pekerja.
Jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Singapura kini adalah 62, 339.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.