Skip to main content

Iklan

Iklan

5 anggota serumah boleh makan bersama di pusat penjaja yang periksa status vaksin hujung Nov ini

Anggota keluarga serumah yang lengkap divaksin tidak lama lagi boleh duduk makan bersama dalam kumpulan sehingga lima orang di sesetengah pusat penjaja. 

Anggaran Waktu Membaca:
5 anggota serumah boleh makan bersama di pusat penjaja yang periksa status vaksin hujung Nov ini

Para pelanggan menjamu selera di Pusat Penjaja Changi Village. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 15 Nov 2021 07:55PM Dikemas Kini : 15 Nov 2021 07:58PM

SINGAPURA: Anggota keluarga serumah yang lengkap divaksin tidak lama lagi boleh duduk makan bersama dalam kumpulan sehingga lima orang di sesetengah pusat penjaja.

Kumpulan pusat penjaja pertama dijangka melaksanakan kawalan akses dan sistem pemeriksaan sebelum hujung November, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (15 Nov).

Pusat-pusat penjaja lain "harus boleh mengikut langkah yang sama tidak lama selepas itu", tambahnya.

Kumpulan sehingga lima anggota keluarga serumah yang lengkap divaksin boleh duduk makan bersama sejak 10 November lalu di cawangan F&B yang melaksanakan pemeriksaan vaksinasi. Mereka yang tidak duduk serumah boleh keluar makan bersama dalam kumpulan dua orang.

Pelaksanaan dan penguatkuasaan langkah vaksinasi berbeza adalah "lebih mencabar" di pusat penjaja serta kedai kopi, menurut MOH. Ia menambah Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sudahpun mendampingi persatuan penjaja dan majlis-majlis bandaran.

Bagi kedai kopi, Agensi Makanan Singapura (SFA) juga sudah mendampingi para pengendalinya. Kedai kopi yang melaksanakan satu sistem bagi mengawal akses dan memeriksa status vaksinasi pelanggan juga akan dibenarkan menerima kumpulan sehingga lima orang yang tinggal serumah untuk duduk makan bersama-sama. Jika tidak, peraturan semasa iaitu saiz kumpulan sehingga dua orang akan dikenakan.

MOH menekankan individu tidak divaksin dengan mudah boleh dijangkiti COVID-19 dalam persekitaran yang memerlukan pelitup ditanggalkan seperti ketika sedang makan.

“Maka itu, penting untuk mengadakan pemeriksaan betul ke atas status vaksinasi sebelum seseorang memasuki pusat penjaja atau kedai kopi dan untuk membenarkan hanya mereka yang divaksin sepenuhnya untuk duduk makan.

“Ini boleh membawa perubahan ketara kepada kapasiti jagaan kesihatan kita terutama di ICU."

MOH juga mengumumkan anggota keluarga yang keluar makan bersama kini boleh menggunakan aplikasi myICA dan SGWorkPass sebagai bukti menunjukkan kediaman mereka di samping menggunakan NRIC serta aplikasi SingPass.

LEBIH BANYAK KIT ART DILULUSKAN

Sebuah kit ujian pantas antigen (ART) COVID-19 secara DIY atau lakukan ujian sendiri (Gambar: AFP/Fred Tanneau)

Harga kit ujian pantas antigen (ART) dijangka turun dengan lebih banyak kit seumpama itu diluluskan bagi penjualan.

Kit ujian kendiri biasanya berharga lebih S$10 di kedai-kedai runcti di Singapura.

Kit Flowflex ART diluluskan di bawah Laluan Akses Khas Pandemik (PSAR) bagi penggunaan ujian kendiri pada 8 November. Ini membawa jumlah kit ART yang diluluskan di Singapura kepada sembilan kesemuanya.

Dua lagi kit ART sudah diluluskan untuk menjalani pendaftaran PSAR.

Pemerintah dan institusi jagaan kesihatan berusaha mencari lebih banyak kit ART "untuk menurunkan kos sementara memastikan kit-kit yang diluluskan bagi penjualan di Singapura terus memenuhi piawai keselamatan dan mutu yang ketat," menurut MOH.

“Kami menjangkakan kit-kit ini akan berharga jauh lebih rendah berbanding harga kit ART sedia ada," tambahnya.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan