Skip to main content

Iklan

Iklan

46 masjid kembali giat agih bubur Ramadan selepas setahun 'menghilang'

Sebanyak 46 masjid kembali giat mengagihkan 'bubur Ramadan' hari ini (13 Apr), selepas pengagihan tersebut ditiadakan tahun lalu akibat pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebanyak 46 masjid kembali giat mengagihkan 'bubur Ramadan' hari ini (13 Apr), selepas pengagihan tersebut ditiadakan tahun lalu akibat pandemik COVID-19.

Namun demikian jumlah bubur yang disediakan tahun ini jauh lebih rendah daripada kebiasaannya, demi mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat.

ORANG RAMAI KEMBALI BERATUR BAGI BUBUR MASJID

Sekitar 4.30 petang tadi, orang ramai dilihat beratur panjang di luar Masjid Darul Ghufran untuk mengambil bubur masjid pada hari pertama Ramadan hari ini.

Pengagihan rancak dijalankan sejurus selepas solat Asar di masjid tersebut.

Kesemuanya, sekitar 300 paket bubur masjid diagihkan di Masjid Darul Ghufran petang tadi dan kesemuanya habis dihulurkan.

Jumlah itu bagaimanapun jauh lebih rendah, berbanding sehingga 2,000 paket bubur yang diagihkan pada tahun-tahun sebelum COVID-19 melanda.

(Gambar: Ira Musfirah)

"Pihak masjid harus mengambil berat berkenaan keselamatan dan kawalan para jemaah atau masyarakat awam yang ingin datang mengambil bubur.

"Jadi itu perkara yang serius yang harus kita ambil berat," terang Ketua Jabatan Ilmu dan Dakwah Masjid Darul Ghufran, Ustaz Ahmad Nafis Mohammed Roslan.

PERLU PELAN PENGURUSAN SELAMAT

Masjid Darul Ghufran adalah antara 46 masjid yang melakukan pengagihan bubur bermula hari ini.

Ini selepas setahun pengagihan bubur di masjid-masjid 'menghilang' apabila semua masjid ditutup Ramadan lalu ekoran langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Bagi bulan puasa ini masjid-masjid terlebih dahulu harus melakarkan pelan pengurusan selamat sebelum diberi kelulusan untuk melaksanakan pengagihan bubur.

BUBUR MASJID DIBUNGKUS TERLEBIH DAHULU

Bubur-bubur kali ini juga kesemuanya dimasak di dapur pusat dan harus dibungkuskan terlebih dahulu sebelum dibawa ke masjid-masjid.

Sebelum ini ia boleh dimasak dan dibungkus di pekarangan masjid sendiri.

"Mudah-mudahan sedikit sebanyak walaupun sedikit, tetapi dapat juga memberi manfaat kepada mereka yang mengambil bubur untuk iftar mereka," ujar Ustaz Nafis.

Bagi memenuhi permintaan orang ramai, Masjid Darul Ghufran turut bekerjasama dengan Hab Tampines Kita (OTH) dengan mengagihkan lagi 200 bungkus bubur di hab berdekatan itu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan