Skip to main content

Iklan

Iklan

43 kes baru, 38 kes penularan dalam negeri COVID-19 dicatat di M'sia

Sebanyak 15 kes COVID-19 dalam kalangan rakyat negara ini melibatkan tujuh negeri adalah antara 38 kes penularan tempatan wabak itu yang dilapor hari ini (13 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
43 kes baru, 38 kes penularan dalam negeri COVID-19 dicatat di M'sia

Sepasang penduduk di Kuala Lumpur, Malaysia memakai pelitup muka pada 9 Mac 2020 di tengah penularan COVID-19 (Gambar: REUTERS/Lim Huey Teng)

Diterbitkan : 13 Jun 2020 09:15PM Dikemas Kini : 13 Jun 2020 09:17PM

PUTRAJAYA: Sebanyak 15 kes COVID-19 dalam kalangan rakyat negara ini melibatkan tujuh negeri adalah antara 38 kes penularan tempatan wabak itu yang dilapor hari ini (13 Jun).

Kes penularan di dalam negara dalam kalangan warganegara Malaysia itu melibatkan satu kes di Kuala Lumpur; empat kes di Selangor; lima kes di Negeri Sembilan; dua kes di Melaka; dan masing-masing satu kes di Pahang, Perak dan Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata tujuh daripada 15 kes itu adalah hasil saringan yang dilakukan di pusat-pusat tahfiz.

Beliau berkata secara keseluruhannya sebanyak 43 kes dilapor hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 8,445 kes.

"Daripada 43 kes baharu yang dilapor, lima kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan empat warga Malaysia dan satu kes bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.

"Daripada 38 kes penularan di dalam negara, 23 kes adalah bukan warganegara manakala 15 kes adalah dalam kalangan warga Malaysia," katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 hari ini.

Malaysia pernah mencatat kes COVID-19 secara harian pada paras satu angka dengan merekodkan kes terendah iaitu dua kes pada 10 Jun lepas, namun ia kembali meningkat kepada dua angka pada 11 Jun iaitu 31 kes dan 33 kes, semalam.

Dr Noor Hisham berkata terdapat satu kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan di Sabah, iaitu melibatkan satu daripada 15 kes penularan dalam negara, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 120 kes.

"Kes kematian ke-120 (kes ke-8,403) merupakan wanita warga Malaysia berumur 96 tahun. Beliau meninggal dunia pada 12 Jun di rumah beliau dan jenazah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

"Saringan ujian COVID-19 didapati positif. Punca jangkitan bagi kes ini masih dalam siasatan," katanya.

Memperincikan kes penularan COVID-19 di dalam negara dalam kalangan warga tempatan, katanya, satu kes dikesan di Kuala Lumpur iaitu melalui survelan kes Influenza Like Illness (ILI) di sebuah Klinik Kesihatan sentinel.

"Di Selangor empat kes iaitu dua kes saringan di dua pusat tahfiz dan dua kes saringan pasukan barisan hadapan (bukan petugas kesihatan) di Sabak Bernam.

"Negeri Sembilan (lima kes) melibatkan tiga kes saringan di tiga pusat tahfiz, satu kes saringan penjawat awam di Seremban yang bercadang untuk pulang ke Sabah dan satu kes saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes ke-7,756) di Negeri Sembilan. Kontak berlaku semasa aktiviti kunjung-mengunjung pada hari raya pertama yang lalu," katanya.

Menurutnya, satu kes dikesan di Pahang menerusi kes saringan dalam komuniti di Temerloh; satu kes di pusat tahfiz di Perak, manakala dua kes di Melaka iaitu satu kes saringan di pusat jagaan warga emas di Melaka Tengah dan satu kes lagi di pusat tahfiz.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 143 kes dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah sebanyak 7,311 kes.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,014 kes," katanya.

Mengulas kes jangkitan dalam negara melibatkan bukan warganegara pula, Dr Noor Hisham berkata 21 kes dikesan dalam kalangan penghuni Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan mereka dipindahkan ke Akademi Imigresen Malaysia (AIM) di Port Dickson, Negeri Sembilan

"Satu kes saringan di Pasar Pemborong Sayur oleh Pejabat Kesihatan Penampang, Sabah dan satu kes saringan pekerja ladang warga asing di Temerloh, Pahang," katanya.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan