4 singa Night Safari positif COVID-19 setelah terdedah kepada kakitangan terjangkit
Empat singa Asia di Night Safari diuji positif COVID-19 selepas terdedah kepada seorang kakitangan dari Mandai Wildlife Group yang dijangkiti koronavirus.
SINGAPURA: Empat singa Asia di Night Safari diuji positif COVID-19 selepas terdedah kepada seorang kakitangan dari Mandai Wildlife Group yang dijangkiti koronavirus.
Semua singa itu mengalami simptom ringan termasuk batuk, bersin dan lesu pada Sabtu (6 Nov), menurut Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Seekor singa Afrika di Taman Haiwan Singapura juga menunjukkan simptom pada Isnin dan sedang menjalani ujian COVID-19.
"Ini setelah terdedah kepada kakitangan dari Mandai Wildlife Group yang diuji positif COVID-19," menurut AVS.
AVS, sebuah badan di bawah naungan Lembaga Taman Negara (NParks) menguji sampel dari keempat-empat ekor singa Asia itu. Kesemua singa itu diuji positif COVID-19 melalui ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR).
Dalam pada itu, AVS sudah mengeluarkan satu arahan kepada Mandai Wildlife Group untuk mengasingkan kesemua sembilan ekor singa Asia dan lima singa Afrika di kandang masing-masing, menurutnya. Ini termasuk lima singa yang menunjukkan gejala.
"AVS sedang bekerjasama dengan Mandai Wildlife Group untuk memantau rapi kesihatan singa-singa itu dan akan menguji sampel daripada singa-singa lain."
Pertubuhan Sedunia bagi Kesihatan Haiwan (OIE) menyatakan buat masa ini tiada bukti yang menunjukkan haiwan memainkan peranan merebakkan penularan COVID-19 ke manusia, menurut AVS.
Bagaimanapun, OIE turut menarik perhatian terdapat laporan "terpencil dan sekali-sekala" tentang haiwan yang diuji positif koronavirus di negara-negara lain selepas berada dekat dengan manusia yang dijangkiti COVID-19.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.