Skip to main content

4 Belanjawan S'pura 'berkesan', penduduk raih 'banyak manfaat', kata Heng Swee Keat

Keempat-empat belanjawan Singapura "berkesan" dalam memastikan para penduduk kekal bekerja, menurut Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Sabtu (27 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
4 Belanjawan S'pura 'berkesan', penduduk raih 'banyak manfaat', kata Heng Swee Keat

Keempat-empat belanjawan Singapura "berkesan" dalam memastikan para penduduk kekal bekerja, menurut Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat. (Gambar: Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 27 Jun 2020 03:05PM Dikemas Kini : 27 Jun 2020 03:10PM

SINGAPURA: Keempat-empat belanjawan Singapura "berkesan" dalam memastikan para penduduk kekal bekerja, menurut Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Sabtu (27 Jun).

Beliau berkata demikian kepada para wartawan di Pasar Teban di GRC West Coast setelah mengadakan lawatan bertemu penduduk pagi tadi. Beliau diiringi oleh Cik Foo Mee Har dan Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran.

Cik Foo dan Encik Iswaran adalah sebahagian daripada pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang bertanding di GRC West Coast pada 2015, yang berjaya memperolehi 78.57 peratus undi semasa bersaing dengan Parti Reform. Pasukan itu adalah antara pasukan PAP yang mempamerkan prestasi paling hebat pada Pilihan Raya Umum 2015.

Kali ini, pasukan PAP dijangka akan bersaing dengan pasukan Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang dipimpin oleh mantan Anggota Parlimen PAP Tan Cheng Bock.

"Saya amat berbesar hati melihat begitu ramai (penduduk) yang memberitahu saya, tidak kira sama ada mereka adalah pemilik kedai ataupun pekerja, bahawa langkah-langkah dalam Belanjawan berkesan dalam membantu mereka," kata Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan.

Beliau menambah bahawa ramai penduduk meraih "banyak manfaat" dan mendapati inisiatif-inisiatif yang ditampilkan dalam Belanjawan berhasil membantu mereka.

Sejak Februari, Pemerintah membentangkan empat pakej Belanjawan yang menyasarkan untuk mengurangkan kesan COVID-19 terhadap ekonomi Singapura dan membantu para peniaga dan pekerja tempatan. Negara ini akan membelanjakan sekitar S$93 bilion untuk menampung langkah-langkah tersebut.

Encik Heng berkata bahawa syarikat-syarikat perusahaan dan para penduduk kini "dalam keadaan baik" dengan seorang ahli niaga menggajikan lebih ramai pekerja dan syarikat-syarikat memberi ganjaran dalam bentuk bonus tambahan kepada para pekerja mereka.

PASUKAN PAP DI ALJUNIED GIAT BERTEMU PENDUDUK

Penasihat akar umbi GRC Aljunied Encik Shamsul Kamar - yang bertanding sebagai sebahagian daripada pasukan lima anggota PAP di Aljunied semasa Pilihan Raya Umum 2015 - juga melakukan lawatan bertemu penduduk pada pagi tadi.

GRC Aljunied, yang ditadbir oleh Parti Pekerja (WP) sejak 2011, bakal berdepan dengan persaingan sengit kerana PAP akan berusaha untuk merampas semula kawasan undi tersebut setelah kalah tipis di tangan WP pada 2015.

Encik Shamsul - yang juga pengerusi cawangan PAP Kaki Bukit - bagaimanapun menekankan bahawa beliau "bukan berkempen", dan sebaliknya dilihat mengagihkan ubat nyamuk dan risalah bagi mencegah denggi kepada para pekedai dan penduduk.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita