34 kapten bas di pusat pertukaran Toa Payoh, Punggol diuji positif COVID-19
Seramai 34 kapten bas dari pusat pertukaran bas Toa Payoh dan Punggol baru-baru ini diuji positif COVID-19, dedah Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) hari ini (27 Ogos).
SINGAPURA: Seramai 34 kapten bas dari pusat pertukaran bas Toa Payoh dan Punggol baru-baru ini diuji positif COVID-19, dedah Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) hari ini (27 Ogos).
Kapten-kapten bas itu membentuk sebahagian daripada dua kelompok baru COVID-19 yang dikaitkan dengan kakitangan di pusat-pusat pertukaran bas Punggol dan Toa Payoh yang dilaporkan Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini hariannya semalam (26 Ogos).
25 kapten bas itu bekerja di pusat pertukaran bas Toa Payoh manakala lagi sembilan berkhidmat di pusat pertukaran bas Punggol.
Kesemuanya kecuali seorang kapten bas sudah lengkap divaksin, kata seorang jurucakap LTA ketika menjawab pertanyaan Mediacorp sambil menambah bahawa kebanyakan mereka "tidak menunjukkan gejala atau hanya menunjukkan gejala ringan".
LTA menyatakan kebanyakan kes dikesan menerusi ujian proaktif menggunakan ujian pantas antigen oleh para pengendali pengangkutan awam - Go Ahead Singapore di Punggol dan SBS Transit di Toa Payoh.
"MOH akan membantu mengaturkan ujian pemantauan tambahan dalam masyarakat bagi para kakitangan dan kontraktor yang berada di pusat-pusat pertukaran itu baru-baru ini," menurut LTA.
"Kami sedang bekerjasama dengan para pengendali untuk mengurangkan kesan ke atas operasi bas. Kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman juga sudahpun dijalankan di kedua-dua pusat pertukaran bas serta di kesemua bas dan kemudahan yang terjejas," tambah LTA.
Penguasa itu menyatakan para pengendali akan terus mengekalkan "rejim pembersihan dan pembasmian yang dipertingkat".
Kedua-duanya juga akan mengambil langkah berjaga-jaga tambahan bagi "kegiatan-kegiatan tidak memakai pelitup dalam kalangan pekerja" termasuk memastikan mereka makan dan menghisap rokok sendirian.
"Kami sedang memantau keadaan dengan teliti dan akan bekerjasama PTO (pengendali pengangkutan awam) untuk membuat penyesuaian lanjut yang sewajarnya."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.