Skip to main content

Iklan

Iklan

3 lagu baru dicipta khas untuk NDP 2021

Buat julung-julung kalinya, Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini akan menampilkan tiga lagu baru yang dicipta khas sempena sambutan ulang tahun negara.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini akan menampilkan tiga lagu baru yang dicipta khas sempena sambutan ulang tahun negara.

Selain lagu tema NDP, dua lagi karya akan didendangkan oleh dua penyanyi terkenal Aisyah Aziz dan Sezairi Sezali secara langsung di Pentas Terapung Marina Bay pada Sabtu (21 Ogos) buat pertama kalinya.

Lagu 'Breathing City' diharap dapat memberi inspirasi kepada warga Singapura untuk terus berusaha bagi masa depan yang lebih cerah.

Dan karya seni itu merupakan impian menjadi nyata bagi Sezairi Sezali yang sudah lama menyimpan hasrat untuk mencipta sebuah lagu bagi NDP.

MENDAPAT ILHAM SELEPAS MENONTON DOKUMENTARI

Lagu itu menurut Sezairi mula ditulis bersama rakan penyanyi dan komposer tempatan, Charlie Lim sekitar akhir tahun lalu namun mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan.

Menariknya, beliau mendapat ilham bagi lagu tersebut selepas menonton dokumentari 'Planet Earth' setelah terlihat Taman di Persisiran dipaparkan.

Selain menyampaikan lagu itu secara solo pada NDP tahun ini, Sezairi juga akan berkongsi pentas dengan tiga penyanyi lain - Linying, Shye Anne Brown dan Shabir untuk mempersembahkan lagu tema NDP 2021, 'The Road Ahead'.

Sezairi turut berkongsi bahawa lagu 'The Road Ahead' itu merupakan lagu NDP yang paling digemarinya.

Walaupun bukan pertama kali membuat persembahan NDP, pengalaman tahun ini sesuatu yang baru bagi juara Singapore Idol 3 itu.

"Tahun ini kita tidak ada penonton jadi beza sangat bila kita ada 20,000 orang tengah pekik dengan ada 1,000 orang saja dan pada saya itulah yang selalunya perkara yang sangat menarik tentang NDP sebab ramai sangat orang," kata Sezairi.

Sebelum ini, beliau pernah dua kali diundang membuat persembahan di NDP iaitu pada 2010 dan 2016.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Namun beliau tetap memberi jaminan bahawa orang ramai boleh menjangkakan suatu persembahan yang cukup memberi kesan.

"Sedih juga tahun ini tidak ada ramai sangat orang tapi pada masa yang sama acara tahun ini format dia agak berlainan daripada tahun-tahun yang lain. Kami menggunakan banyak media bercampur, banyak filem dan elemen-elemen muzik yang tak berapa konvensional. Jadi saya harap penonton dapat melihat sesuatu yang segar yang baru dan diharap akan menyentuh anda," tambah Sezairi.

LAGU DISIAPKAN DALAM SEHARI

Keghairahan menyanyikan lagu ciptaan NDP 2021 turut dirasakan penyanyi Aisyah Aziz.

Menurut beliau, lagu yang berjudul 'Spirits Anew' itu diilhamkan daripada bait lirik Lagu Kebangsaan iaitu 'Dengan Semangat Yang Baru'.

Itulah mesej yang Aisyah serta komposer bersama, RHAUN ingin sampaikan kepada seluruh rakyat Singapura untuk terus berjuang menghadapi masa-masa mencabar ini.

"Bila saya dapat peluang ini untuk mengarang lagu NDP ini, hari itu juga kita dapat, hari itu juga kita habis lagu itu. Itu menunjukkan betapa ghairahnya kami untuk tulis lagu ini. Senang sangat untuk tulis dari hati sebab COVID-19 menjejas semua orang dan semua orang terasa apa sahaja yang berlaku sekarang.

"Saya nak orang bila mendengar lagu ini, rasa terdorong, untuk rasa aman dan juga rasa tenang," kata Aisyah yang kali terakhir beraksi di NDP pada 2018.

LAGU NDP BAHASA MELAYU?

Apabila ditanya oleh BERITAmediacorp sama ada terdapat rancangan untuk menghasilkan versi Bahasa Melayu lagu-lagu tersebut, ini jawapan kedua-dua artis berbakat ini...

"Sebenarnya saya ada tulis versi lagu Melayu untuk lagu ini tapi saya tidak berapa yakin dengan arahnya. Mungkin pada masa yang akan datang siapa tahu? Tapi buat masa ini, saya rasa semua yang saya perlu katakan lagunya sudahpun ditulis," jelas Sezairi.

Bagi Aisyah pula, beliau berharap untuk menghasilkan bukan sahaja versi baru, malah ciptaan baru.

"Saya rasa kalau kita tulis lagu baru, adalah lebih baik. Saya rasa melodi 'Spirits Anew' boleh disesuaikan dengan lirik Melayu juga tapi adalah lebih menarik untuk kita menulis sesuatu yang sepenuhnya baru dalam Bahasa Melayu," ujar Aisyah.

Dengan tema "Bersama-sama, Semarakkan Semangat Singapura Kita", segmen persembahan NDP pada 21 Ogos akan turut menampilkan ramai lagi bakat tempatan seperti Shabir, duo muzik Mandarin, The Freshman serta pendatang baru, Shye Ann Brown. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan