Skip to main content

Iklan

Iklan

3 kes baru COVID-19 di S'pura; seorang ibu dan bayi 6 bulan dibenar keluar hospital

Singapura mempunyai tiga lagi kes COVID-19 pada Sabtu (22 Feb) menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu maklumat terkini. Sementara itu lagi dua pesakit juga dibenarkan keluar dari hospital.

Anggaran Waktu Membaca:
3 kes baru COVID-19 di S'pura; seorang ibu dan bayi 6 bulan dibenar keluar hospital

(Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 22 Feb 2020 10:38PM Dikemas Kini : 22 Feb 2020 10:42PM

SINGAPURA: Singapura mempunyai tiga lagi kes COVID-19 pada Sabtu (22 Feb) menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu maklumat terkini. Sementara itu lagi dua pesakit juga dibenarkan keluar dari hospital.

Ini menjadikan jumlah kes virus korona di Singapura seramai 89.

Para pesakit yang sudah pulih itu adalah seorang ibu berusia 28 tahun (Kes 19) dan bayinya berusia enam bulan (Kes 28).

Setakat ini 49 individu di Singapura sudah pulih daripada virus itu.

Kes terbaru yang disahkan termasuk seorang dari kelompok gereja Grace Assembly of God, dan seorang dari kumpulan rakyat Singapura yang dipindahkan dari Wuhan pada 9 Feb.

Bagi kes ketiga, MOH menyatakan bahawa usaha mengesan para individu yang berhubung rapat dengan pesakit virus korona sedang dijalankan bagi mengesan sama ada terdapat sebarang kaitan dengan kes sebelumnya atau sejarah perjalanan ke China.

KES BARU YANG DISAHKAN

Menurut MOH, Kes 87 adalah seorang lelaki rakyat Singapura berusia 32 tahun yang dipindahkan dari Wuhan pada 9 Feb. Beliau tidak menunjukkan sebarang simptom apabila beliau menaiki pesawat, tetapi dikuarantin setelah mendarat di Singapura.

Beliau disahkan menghidap virus itu pada 21 Feb dan kini dirawat di bilik berasingan di Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Beliau dikaitkan dengan Kes 67, seorang bayi berusia setahun yang juga dipindahkan dari Wuhan.

Kes kedua yang disahkan pada Sabtu, iaitu Kes 88, adalah seorang wanita rakyat Singapura yang tidak mempunyai sebarang sejarah perjalanan ke China. Simptom-simptom itu dikesan pada 16 Feb dan apabila beliau mengunjungi sebuah klinik pada keesokan harinya.

Oleh kerana beliau dikenal pasti berhubung rapat dengan Kes 66, seorang lelaki rakyat Singapura berusia 28 tahun yang dikaitkan dengan kelompok Grace Assembly of God, beliau dirujuk ke NCID pada 21 Feb. Beliau disahkan menghidap virus itu pada keesokan hari.

Sebelum dirawat di hospital, beliau banyak menghabiskan masa di rumahnya di Hougang Street 91.

Kes 89 adalah seorang lelaki berusia 41 tahun, yang merupakan Penduduk Tetap Singapura yang tidak mempunyai sebarang sejarah perjalanan ke China.

Beliau disahkan menghidap COVID-19 pada Sabtu pagi, dan kini dirawat di bilik pengasingan di NCID.

Setakat tengah hari Sabtu, MOH sudah mengenal pasti 2,734 individu yang berhubung rapat dengan pesakit COVID-19. Daripada jumlah tersebut, 1,101 kini dikuarantin dan 1,633 sudah tamat tempoh kuarantin masing-masing.

Virus COVID-19 sudah meragut 2,300 nyawa dan menjangkiti lebih 75,000 individu kebanyakannya di tanah besar China. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan