Skip to main content

Iklan

Iklan

3 ADUN Perlis diarah jalani ujian COVID-19 sebelum hadiri sidang Dewan Undangan Negeri

Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis, yang kawasan mereka wakili berhampiran dengan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO), diarahkan menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum boleh menghadiri persidangan DUN pada Selasa (11 Ogos). 

Anggaran Waktu Membaca:
3 ADUN Perlis diarah jalani ujian COVID-19 sebelum hadiri sidang Dewan Undangan Negeri

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 10 Aug 2020 07:04PM Dikemas Kini : 10 Aug 2020 07:05PM

KANGAR: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis, yang kawasan mereka wakili berhampiran dengan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO), diarahkan menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum boleh menghadiri persidangan DUN pada Selasa (11 Ogos).

Arahan kepada ADUN Sanglang, ADUN Guar Sanji dan ADUN Simpang Empat itu dikeluarkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Hamdan Bahari.

Hamdan berkata kawasan TEMCO itu di dua kampung iaitu Kampung Tanah Timbul serta Kampung Kuala Sanglang terletak di DUN Sanglang dan berhampiran dengan dua lagi kawasan DUN.

"Ketiga-tiga ADUN ini telah diminta hadir ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) pagi ini untuk menjalani 'Swab Test' COVID-19 (Rapid Test Kit-RTK) sebelum dibenarkan hadir ke Sidang DUN esok," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata sekiranya keputusan ujian adalah negatif, barulah mereka dibenarkan hadir ke sidang DUN.

"Langkah ini diambil bagi mengelakkan berlaku penyebaran wabak COVID-19 dan sebagai langkah pencegahan untuk semua yang terlibat dalam Sidang DUN esok,” kata Hamdan.

Pada Selasa, akan berlangsung Perasmian Persidangan Penggal Ketiga dan Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Ketiga DUN Perlis ke-14 di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis. Persidangan akan diadakan hingga Khamis.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dijadual berkenan berangkat hadir dan merasmikan sidang tersebut.

Setakat Ahad, Perlis mencatatkan jumlah kumulatif 30 kes positif COVID-19 dengan 11 daripadanya merupakan jangkitan daripada Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga yang bermula di Napoh, Kubang Pasu, di Kedah. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan