3,439 kes baru COVID-19 di S'pura, 16 lagi kematian
Singapura melaporkan 3,439 kes baru COVID-19 setakat tengah hari Khamis (21 Okt) dan 16 lagi kematian disebabkan komplikasi akibat virus itu.

Para pejalan kaki menyeberangi jalan raya di Orchard Rd, Singapura, pada 4 Sep 2020. (Gambar: Marcus Mark Ramos)
SINGAPURA: Singapura melaporkan 3,439 kes baru COVID-19 setakat tengah hari Khamis (21 Okt) dan 16 lagi kematian disebabkan komplikasi akibat virus itu.
Dalam kalangan kes baru itu, 3,437 adalah jangkitan dalam negeri, meliputi 2,937 jangkitan dalam masyarakat dan 500 di dormitori pekerja hijrahan.
Baki dua kes baru adalah kes import, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini hariannya yang dikeluarkan kepada media sekitar pukul 11.15 malam.
Kematian terbaru COVID-19 melibatkan 12 lelaki dan empat wanita yang berusia antara 61 tahun dengan 93 tahun. Lapan daripada mereka belum divaksin sama sekali, seorang sudah menerima satu dos suntikan dan lagi tujuh lengkap divaksin.
Dalam kalangan korban lelaki itu, 11 adalah rakyat dan penduduk tetap Singapura manakala satu merupakan pemegang permit kerja warga Malaysia. Sementara itu, semua wanita yang meninggal dunia adalah rakyat Singapura.
Seramai 15 pesakit yang meninggal dunia mempunyai masalah kesihatan sedia ada. MOH bagaimanapun tidak menyatakan apakah masalah kesihatan mereka. Seorang kes yang sudah divaksin tidak mempunyai sebarang masalah perubatan.
Ini membawa angka korban akibat COVID-19 di Singapura kepada 280.
Setakat Khamis, Singapura melaporkan jumlah terkumpul 162,026 kes COVID-19 sejak awal pandemik melanda.
KES DI HOSPITAL, PEMULIHAN DI RUMAH
Dalam kalangan kes COVID-19 dalam masyarakat yang dirujuk atau dimasukkan ke hospital, 17,617 pesakit atau 72.4 peratus, menjalani pemulihan di rumah.
Lagi 4,223 sedang dirawat di kemudahan jagaan masyarakat dan 880 di kemudahan rawatan COVID-19.
Baki 1,613 pesakit dimasukkan ke hospital, sebahagian besarnya untuk dipantau, menurut MOH. Dalam kalangan mereka, 346 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 61 diletakkan di unit jagaan rapi (ICU).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.