Skip to main content

Iklan

Iklan

2 Pusat Ujian Pantas di Tekka, Yishun mula operasi; 100 orang jalani ujian kendiri

Sekitar 100 orang menjalani rejim Ujian Pantas dan Mudah (FET) pada Isnin (21 Jun) di dua Pusat Ujian Pantas yang baru.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekitar 100 orang menjalani rejim Ujian Pantas dan Mudah (FET) pada Isnin (21 Jun) di dua Pusat Ujian Pantas yang baru.

Salah satu Pusat Ujian Pantas yang dibangunkan di kawasan Tekka itu menerima kunjungan sekitar 50 orang pada hari ini.

Mereka terdiri daripada para peniaga ataupun pemilik perniagaan kecil seperti kedai F&B dan gerai-gerai di Pasar Tekka.

Rejim FET dikhususkan untuk para kakitangan atau peniaga yang bekerja dalam persekitaran berisiko tinggi dan pusat ujian pantas seperti di Tekka itu yang ditubuhkan untuk menyediakan khidmat FET kepada perniagaan berskala kecil yang tidak berkeupayaan untuk menjalankan sendiri ujian sedemikian.

Pemerintah sebelum ini menyatakan persekitaran berisiko tinggi bagi golongan sedemikian merujuk kepada situasi yang mana para pelanggan yang menanggalkan pelitup ketika sedang makan.

FET adalah sebahagian daripada usaha pemerintah untuk membuka semula ekonomi dengan langkah-langkah pencegahan yang lebih ketat.

PERLU ADA JANJI TEMU, UJI SENDIRI

Sebelum mereka tiba di Pusat Ujian Pantas itu, mereka perlu menempah slot janji temu. Namun begitu jika mereka berasa kurang sihat ataupun menunjukkan simptom-simptom COVID-19, mereka tidak akan dibenarkan masuk dan dinasihati untuk berjumpa doktor dengan segera.

Tidak seperti pusat ujian COVID-19 yang lain, Pusat Ujian Pantas menggunakan kaedah ujian pantas antigen (ART) saja.

Selain itu, mereka yang menjalani ujian di pusat berkenaan harus melakukannya sendiri dengan kakitangan dari pusat berkenaan akan membimbing dan memantau seluruh proses tersebut.

Seorang peniaga yang ditemui berkata: "Ujian kendiri itu agak mudah. Arahan yang diberikan juga jelas. Agak teratur dan tidak ada rasa kurang selesa."

"Saya bekerja di Pasar Tekka di salah satu gerai, jadi saya rasa adalah penting untuk diperiksa dengan kerap. Tidak ada masalah, lebih baik selamat daripada menyesal kemudian," kongsi Kyle yang bekerja di gerai perniagaan keluarganya.

Selain pusat di Tekka, satu lagi Pusat Ujian Pantas turut dibangunkan di kawasan Yishun yang juga menerima sekitar 50 orang hari ini.

Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) menyatakan pusat-pusat itu boleh menjalankan sehingga 1,000 ujian setiap hari.

Menurut Pemerintah, lebih banyak pusat seperti itu akan ditubuhkan secara bertahap-tahap.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan