Skip to main content

2 lelaki didenda S$3,000; maki hamun pekerja awam semasa pemutus jangkitan

Dua lelaki rakyat Singapura masing-masing didenda S$3,000 oleh Mahkamah Negara pada Rabu (10 Jun) kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap para pekerja perkhidmatan awam semasa tempoh 'circuit breaker' atau pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
2 lelaki didenda S$3,000; maki hamun pekerja awam semasa pemutus jangkitan

Lee Ah Loo. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 10 Jun 2020 06:47PM Dikemas Kini : 10 Jun 2020 07:01PM

SINGAPURA: Dua lelaki rakyat Singapura masing-masing didenda S$3,000 oleh Mahkamah Negara pada Rabu (10 Jun) kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap para pekerja perkhidmatan awam semasa tempoh 'circuit breaker' atau pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Kes pertama melibatkan Lee Ah Loo, 66 tahun, yang mengaku bersalah pada Rabu atas satu tuduhan di bawah Akta Perlindungan Daripada Gangguan. Satu lagi tuduhan serupa turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Lee melemparkan kata-kata kesat dalam bahasa Hokkien terhadap seorang duta jarak selamat, yang melaksanakan tugasnya bersama seorang rakan kerja di Pasar Beo Crescent di Tiong Bahru sekitar waktu 12.00 tengah hari pada 2 Mei tahun ini.

Timbalan Pendakwa Raya Sanjiv Vaswani berkata bahawa Lee mengenali duta itu berdasarkan insiden yang berlaku pada 26 Apr semasa duta itu menyuruhnya memakai pelitupnya dengan betul.

Pada 2 Mei, Lee menghampiri duta itu untuk mendapatkan butirannya dan naik berang apabila duta tersebut tidak mendedahkan maklumat itu. Duta tersebut meminta rakan kerjanya untuk mendapatkan bantuan polis ketika itu.

Lee kemudian mencampakkan kad pengenalan (NRIC) di atas meja dan sekali lagi mencabar duta itu supaya memberikan butiran peribadinya, sebelum memaki hamun ibu duta tersebut.

Lee, yang tidak diwakili peguam tetapi ditemani keluarganya, kelihatan tidak berpuas hati semasa perbicaraan.

Bercakap menerusi seorang penterjemah Hokkien, Lee merayu hukumannya diringankan, sambil memberitahu Hakim Daerah Marvin Bay bahawa gajinya sebagai pekerja pembersihan sangat kecil dan dia dibantu di bawah program bantuan kewangan.

Hakim kemudian membenarkan Lee membayar dendanya secara ansuran.

JUAL PELITUP SECARA HARAM

Lelaki kedua yang didenda ialah Eddie Neo Zhong Jie, 36 tahun, seorang pemilik kedai minuman di kedai kopi di Jurong East Street 24.

Neo mengaku bersalah atas satu tuduhan di bawah Akta Perlindungan Daripada Gangguan pada Rabu.

Menurut dokumen mahkamah, para pegawai penguatkuasaan daripada Agensi Makanan Singapura pergi ke kedai kopi itu pada 13 April tahun ini bagi menyiasat maklumat yang diterima yang mendakwa bahawa Neo menjual pelitup secara haram.

Apabila para pegawai tiba di kedai kopi itu, mereka mendapati Neo duduk bersebelahan dengan sebuah troli yang dipenuhi dengan 43 kotak pelitup. Terdapat 50 keping pelitup dalam setiap kotak.

Memandangkan pelitup-pelitup itu kelihatan seolah-olah untuk dijual, para pegawai menyoal Neo sekali lagi, tetapi dia bertegas bahawa dia tidak melakukan kesalahan dan dia juga mendakwa bahawa mereka tidak melihatnya menjual pelitup-pelitup tersebut.

Para pegawai kemudian menanyakan Neo mengenai butiran peribadinya, tetapi dia tidak memberikan kerjasama dan sebaliknya memaki hamun mereka: "Mengapa saya perlu memberinya kepada awak?"

Dokumen-dokumen itu turut mendedahkan bahawa apabila para pegawai polis dipanggil untuk membantu, Neo masih memaki hamun, meskipun setelah para pegawai polis memberitahunya supaya jangan berbuat demikian.

Hukuman ke atas sesiapa yang didapati bersalah kerana menggunakan kata-kata kesat terhadap pekerja perkhidmatan awam adalah hukuman penjara sehingga 12 bulan, denda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita