Skip to main content

2,021 lampu pelita sambut kedatangan Syawal di kampung Johor ini

Meskipun Syawal kali ini bakal disambut dalam keadaan sederhana, penduduk Kampung Baru Sri Gading tidak menjadikan ia satu alasan untuk tidak melakukan sebarang persiapan bagi menyambut ketibaan hari berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:
2,021 lampu pelita sambut kedatangan Syawal di kampung Johor ini

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 09 May 2021 08:52PM Dikemas Kini : 09 May 2021 08:59PM

BATU PAHAT: Meskipun Syawal kali ini bakal disambut dalam keadaan sederhana, penduduk Kampung Baru Sri Gading tidak menjadikan ia satu alasan untuk tidak melakukan sebarang persiapan bagi menyambut ketibaan hari berkenaan.

Hasilnya terdirilah sebuah “masjid pelita” yang dibina daripada 2,021 biji pelita menghiasi pintu masuk kampung itu, menjadikan suasana kampung begitu indah, terutama pada waktu malam.

Seorang penduduk, Mohd Azam Isnin, 46, berkata ini merupakan tahun kedua aktiviti membuat pintu gerbang pelita dijalankan dan kali ini ia menggunakan lebih banyak pelita berbanding tahun lepas yang hanya menggunakan 1,500 biji pelita dengan konsep yang sama.

Mohd Azam yang membina pintu gerbang itu bersama seorang rakan, Nor Ikhwan Nasir berkata pada mulanya aktiviti tersebut dilakukan bagi memanfaatkan masa terluang sebelum dibantu oleh penduduk kampung yang lain.

“Kami tidak menyangka yang ia menjadi tarikan dan mempunya peminatnya sendiri terutama setelah tular di media sosial sejak selesai dibina Isnin lepas. Ramai penduduk dari kawasan sekitar berhenti untuk mengambil gambar dan berswafoto,” katanya ketika ditemui pada Sabtu malam (8 Mei).

Menurut Mohd Azam, disebabkan gerbang pelita berkenaan menjadi tumpuan lebih-lebih lagi kerana terletak di jalan utama menghubungkan Batu Pahat, Ayer Hitam dan Kluang, pihaknya memastikan prosedur operasi standard dipatuhi. 

Orang ramai yang ingin memasuki kawasan berkenaan perlu mengambil bacaan suhu, mendaftar dengan aplikasi MySejahtera dan diingatkan sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal.

“Kami mahu tradisi membuat pintu gerbang pelita ini berterusan dan dilaksanakan setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita