Skip to main content

Iklan

Iklan

15% katil hospital awam akut digunakan bagi pesakit COVID-19

Sekitar 15 peratus katil di hospital-hospital akut sektor awam Singapura kini digunakan untuk para pesakit COVID-19, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (29 Sep). 

Anggaran Waktu Membaca:
15% katil hospital awam akut digunakan bagi pesakit COVID-19

Anggota kakitangan dan pejalan kaki dilihat di luar Hospital Tan Tock Seng di Singapura pada 30 Apr 2021. (Gambar: Calvin Oh/CNA)

Diterbitkan : 30 Sep 2021 08:02AM Dikemas Kini : 30 Sep 2021 08:03AM

SINGAPURA: Sekitar 15 peratus katil di hospital-hospital akut sektor awam Singapura kini digunakan untuk para pesakit COVID-19, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (29 Sep).

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp minggu lalu, MOH juga menyatakan sejumlah 130 kakitangan dan pesakit hospital awam akut diuji positif koronavirus sepanjang tempoh 14 hari dari 9 September.

Para pesakit yang diuji positif dimasukkan ke hospital tersebut pada awalnya bagi penyakit bukan COVID-19.

Tempoh dua minggu itu jatuh sebelum semua penziarahan ke wad hospital digantung selama empat minggu dari 24 September selepas kes COVID-19 dikesan dalam kalangan kakitangan, pesakit dan penziarah.

Kes-kes itu menyebabkan wad ditututp dan kakitangan dikuarantin, lantas memberi tekanan kepada kapasiti katil hospital serta kakitangan.

Dalam responsnya, MOH menyatakan kakitangan hospital terjejas termasuk kedua-dua pekerja klinikal dan yang menyokong khidmat tambahan. Pada tempoh yang sama, tujuh wad di enam hospital awam akut ditutup.

MOH menambah kurang satu peratus daripada kesemua kakitangan hospital awam diletakkan di bawah cuti ketidakhadiran (LOA), Notis Jangan Keluar Rumah (SHN), perintah kuarantin atau amaran risiko kesihatan bagi tempoh antara 13 hingga 19 September.

"Bagi mengurangkan kesan ke atas kakitangan lain akibat kakitangan yang terjangkit, hospital-hospital mengerahkan kakitangan dari kawasan lain dalam hospital berkenaan," menurut MOH.

"Ini dilakukan dengan pematuhan tegas terhadap langkah kawalan jangkitan termasuk memakai peralatan perlindungan diri yang betul."

MOH menambah semua kakitangan yang berurusan dengan pesakit juga didaftarkan dalam ujian pemantauan berkala untuk mengesan sebarang jangkitan awal dan mencegah penularan dalam hospital.

"Hospital-hospital kita terus menyediakan khidmat kepada masyarakat dan menjaga pesakit dengan masalah perubatan COVID-19 serta bukan COVID-19," menurut MOH.

Pada Rabu, Singapura melaporkan 2,268 kes baru COVID-19 dan lapan kematian.

Singapura melaporkan jumlah terkumpul 94,043 kes COVID-19 sejak pandemik itu melanda, dengan 93 korban jiwa.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan