Skip to main content

Iklan

Iklan

15 cawangan F&B diarah tutup; langgar peraturan jarak selamat

Perniagaan dan individu berkenaan, antaranya, membenarkan pelanggan tidak divaksin untuk duduk makan di cawangannya, membenarkan saiz kumpulan melebihi lima orang untuk memasuki premisnya atau gagal memastikan kumpulan pelanggan duduk sekurang-kurangnya dengan jarak satu meter antara satu sama lain.

Anggaran Waktu Membaca:
15 cawangan F&B diarah tutup; langgar peraturan jarak selamat

Restoran barbeku Korea, On Dol, di Tanjong Pagar, gagal menguatkuasakan saiz kumpulan maksimum lima individu lengkap divaksin di premisnya. (Gambar: URA)

Diterbitkan : 18 Sep 2021 10:23AM Dikemas Kini : 18 Sep 2021 10:25AM

SINGAPURA: Sebanyak 15 cawangan makanan dan minuman (F&B) diarahkan tutup dan 18 yang lain didenda kerana melanggar peraturan COVID-19.

Demikian menurut Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) pada Jumaat (17 Sep).

Selain itu, 36 individu juga didenda kerana tidak mematuhi peraturan COVID-19.

Perniagaan dan individu berkenaan, antaranya, membenarkan pelanggan tidak divaksin untuk duduk makan di cawangannya, membenarkan saiz kumpulan melebihi lima orang untuk memasuki premisnya atau gagal memastikan kumpulan pelanggan duduk sekurang-kurangnya dengan jarak satu meter antara satu sama lain.

Secara berasingan, lesen makanan dua pusat hiburan malam ditarik balik selamanya.

Satu daripada cawangan itu, Carlsberg Sports Bar di Waterfront Plaza di Havelock Road, pada awalnya lulus pemeriksaan dan dibenarkan untuk menyambung semula operasi pada 3 September.

Namun, satu pemeriksaan susulan oleh pihak berkuasa mendapati pusat itu membenarkan kegiatan pelayanan dan gagal untuk memastikan kamera litar tertutupnya (CCTV) dihidupkan pada setiap masa.

Satu lagi pusat hiburan malam, Club Royal di 7500A Beach Road, ditangkap beroperasi dan membenarkan pelanggan duduk makan di premisnya apabila ia belum lagi dibenarkan untuk menyambung semula perniagaannya.

TIDAK IKUT PERATURAN VAKSIN

Sejak 1 September, MSE menyatakan ia menjalankan pemeriksaan ke atas lebih 670 cawangan F&B dan individu. Ia memeriksa sama ada mereka mematuhi peraturan berbeza yang dikenakan ke atas individu divaksin dan tidak divaksin yang duduk makan di luar.

Ia mengambil tindakan ke atas pengendali F&B, Ohms Garden di 672 Chandler Road di Little India, yang membenarkan pelanggan belum lengkap divaksin untuk menjamu selera di premisnya.

Lembaga Pelancongan Singapura (STB) mengeluarkan satu arahan penutupan selama 30 hari kepada perniagaan itu, dari 9 September hingga 8 Oktober kerana melanggar peraturan.

Dalam satu insiden berasingan, MSE menyatakan ia menangkap seorang individu belum divaksin yang cuba untuk memasuki sebuah kedai makan di Pulau Sentosa dengan menggunakan telefon bimbit rakannya yang menunjukkan status vaksinasi yang sah menerusi aplikasi mudah alih TraceTogether.

Kakitangan di kedai makan itu kemudian meminta individu berkenaan dan rakannya untuk segera meninggalkan premisnya. Mereka juga melaporkan insiden itu kepada para pegawai penguat kuasa jarak selamat dari Sentosa Development Corporation.

Siasatan masih dijalankan, menurut MSE, yang tidak mendedahkan kedai makan tersebut.

LANGGAR PERATURAN KAWALAN JANGKITAN

Daripada jumlah pengendali F&B yang didenda kerana melanggar peraturan COVID-19, 14 diarahkan ditutup atas pelbagai pelanggaran peraturan keselamatan.

Misalnya, I-Bar & Bistro yang terletak di 50 Prinsep Street ditangkap membenarkan pelanggan untuk bermain permainan kad di premisnya.

Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) mengarahkan pengendali itu untuk menutup perniagaannya selama 10 hari dari 15 hingga 24 September.

Satu lagi cawangan F&B, Sanook Kitchen di pusat beli-belah Eastpoint Mall di Simei, pula membenarkan beberapa kumpulan pelanggan terdiri daripada lebih lima orang yang lengkap divaksin sedangkan hadnya adalah lima sekumpulan.

Agensi perusahaan Enterprise Singapore mengarahkan perniagaan itu untuk ditutup selama 10 hari dari 15 hingga 24 September.

Sementara itu, 18 pengendali F&B dan 36 individu dikenakan denda komposit kerana melanggar peraturan termasuk berhimpun dalam kumpulan melebihi lima orang, memainkan rakaman muzik atau video di premisnya atau gagal memastikan kakitangannya memakai pelitup.

MSE menyatakan: "Kami ingin mengingatkan kedua-dua pengendali F&B dan pelanggan bahawa pematuhan ketat terhadap langkah-langkah pengurusan selamat adalah penting bagi keselamatan setiap orang."

Pihak berkuasa akan mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap mereka yang melanggar peraturan, tambahnya.  

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan