120 kapten bas di 7 pusat pertukaran positif COVID-19
Seramai 120 kapten bas dari tujuh pusat pertukaran bas di Singapura diuji positif COVID-19 sejak dua kelompok pertama diumumkan sepanjang dua minggu lalu. Demikian menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Isnin (30 Ogos).
Sebuah pusat pertukaran bas di Singapura. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)
SINGAPURA: Seramai 120 kapten bas dari tujuh pusat pertukaran bas di Singapura diuji positif COVID-19 sejak dua kelompok pertama diumumkan sepanjang dua minggu lalu. Demikian menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Isnin (30 Ogos).
Pusat Pertukaran Bas Boon Lay diumumkan sebagai kelompok baru COVID-19 pada Ahad, menjadikannya kelompok aktif ketujuh yang melibatkan kakitangan di pusat pertukaran bas merata Singapura sejak 14 Ogos.
Kelompok-kelompok yang muncul baru-baru ini menggesa langkah berjaga-jaga tambahan diambil bagi para pekerja. LTA sedang bekerjasama dengan pengendali pengangkutan awam untuk mengurangkan kesan ke atas operasi bas, menurut penguasa itu dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp.
Singapura mempunyai sekitar 9,500 kapten bas, menurut LTA.
Pusat-pusat pertukaran bas Sengkang dan Bishan pertama kali diisytiharkan sebagai kelompok COVID-19 pada 14 Ogos. Kemudian, pusat-pusat pertukaran bas Toa Payoh, Punggol, Clementi, Jurong East dan Boon Lay diumumkan sebagai kelompok COVID-19 antara 26 hingga 29 Ogos.
Pusat pertukaran bas Toa Payoh mempunyai kelompok terbesar kapten bas yang dijangkiti COVID-19 iaitu sebanyak 33 kes. Ia disusuli oleh Pusat Pertukaran Bas Bishan dengan 23 kes, menurut LTA.
Di Jurong East, 15 kapten bas diuji positif COVID-19 manakala terdapat 14 di Pusat Pertukaran Bas Sengkang serta masing-masing 13 di pusat-pusat pertukaran bas Punggol dan Boon Lay.
Kelompok paling kecil, iaitu Pusat Pertukaran Bas Clementi, melibatkan sembilan kapten bas.
Menurut kemas kini harian Kementerian Kesihatan (MOH) pada Ahad, lagi 54 kes - selain kapten bas - terkait dengan tujuh kelompok pusat pertukaran bas.
LTA memberitahu Mediacorp lebih 99 peratus pekerja pengangkutan awam barisan hadapan sudahpun mendapatkan dos pertama vaksin dengan 95 peratus daripada mereka kini lengkap divaksin.
Semua kapten bas yang diuji positif baru-baru ini sudah lengkap divaksin, kecuali empat, dengan kebanyakan mereka tidak bergejala atau hanya menunjukkan simptom ringan.
“Sebaik sahaja kelompok di nod pengangkutan awam dikesan, pembersihan dan pembasmian kuman rapi dijalankan di lokasi serta di semua bas dan kemudahan yang terjejas. Ini tambahan kepada rejim pembersihan dipertingkat yang dilaksanakan pengendali sejak tahun lalu," jelas jurucakap NEA.
"Kami sedang bekerjasama dengan pengendali pengangkutan awam untuk mengurangkan kesan ke atas operasi bas."
Pihak berkuasa itu juga menyatakan pengendali sedang mengambil langkah berjaga-jaga tambahan bagi kegiatan tanpa pelitup untuk pekerja di tengah-tengah perkembangan baru-baru ini.
Ini termasuk memastikan mereka pergi berehat untuk makan dan menghisap rokok secara bersendirian sekalipun jika mereka sudah lengkap divaksin.
Pada Ahad (29 Ogos), jumlah kes COVID-19 bagi kelompok Pusat Pertukaran Bas Boon Lay adalah 15.
Lagi 17 kes baru ditambah ke kelompok Pusat Pertukaran Bas Toa Payoh pada Ahad, membawanya kepada 51 kes secara keseluruhan.
Terdapat enam kes baru terkait Pusat Pertukaran Bas Clementi semalam, menjadikan kelompok itu sebanyak 14 kes.
Tiga dan empat kes baru masing-masing dilaporkan di kelompok Punggol dan Jurong East, membawa jumlah keseluruhan kes kepada 25 dan 21.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.