Skip to main content

Iklan

Iklan

12 kes COVID-19 dalam masyarakat dilaporkan; 5 terkait kelompok Hospital Besar Changi

Singapura melaporkan 12 kes baru COVID-19 dalam masyarakat pada Ahad (27 Jun), termasuk satu kes yang tidak berhubung kait dengan jangkitan-jangkitan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
12 kes COVID-19 dalam masyarakat dilaporkan; 5 terkait kelompok Hospital Besar Changi

Gambar fail CGH (Gambar: Facebook/Hospital Besar Changi)

Diterbitkan : 27 Jun 2021 11:34PM Dikemas Kini : 27 Jun 2021 11:55PM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 12 kes baru COVID-19 dalam masyarakat pada Ahad (27 Jun), termasuk satu kes yang tidak berhubung kait dengan jangkitan-jangkitan lalu.

Daripada 11 kes jangkitan dalam masyarakat yang dikaitkan dengan kes-kes sebelum ini, 10 sudahpun menjalani kuarantin dan satu lagi dikesan melalui pemantauan, dedah Kementerian Kesihatan (MOH).

Satu-satunya kes COVID-19 tanpa hubung kait adalah seorang lelaki 37 tahun yang bekerja sebagai juruukur di GW Marine.

Dikenal pasti sebagai Kes 64483, dia diuji positif COVID-19 pada 24 Jun sebagai sebahagian daripada ujian wajib yang dijadualkan dan hasil ujiannya didapati positif pada keesokan hari.

Lelaki itu diberi ujian peribadi pada 26 Jun dan hasil ujiannya positif jangkitan COVID-19. Sebelum ini, hasil daripada ujian berkala, yang terakhir dikendalikan pada 21 Jun, kesemuanya negatif.

Dia menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 pada 20 Januari dan yang kedua pada 10 Februari.

LIMA KES TERKAIT KELOMPOK HOSPITAL BESAR CHANGI

Lima daripada kes COVID-19 dalam masyarakat yang dilaporkan pada Ahad dikaitkan dengan kelompok Hospital Besar Changi (CGH), membawa jumlah kes keseluruhan kepada 10.

Empat daripada kes baru itu sudahpun dikenakan kuarantin dan satu lagi kes dikesan melalui pemantauan.

Dua daripada kes yang dikuarantin adalah seorang wanita 58 tahun yang merupakan seorang suri rumah dan seorang pelajar Politeknik Republic. Kedua-duanya adalah anggota keluarga dan kontak serumah dengan kes-kes yang dilaporkan sebelum ini.

Pelajar itu kali terakhir berada di kampus pada 1 Jun dan menerima suntikan dos vaksin pertamanya pada 16 Jun. Wanita 58 tahun itu pula menerima suntikan dos vaksin pertamanya pada 2 Jun.

Lagi dua kes lain melibatkan seorang lelaki 62 tahun dan seorang wanita 24 tahun, porter yang masing-masing bekerja di CGH dan Hospital Universiti Nasional (NUH).

Lelaki tersebut adalah seorang kontak tempat kerja lima porter yang bekerja di CGH. Wanita itu pula adalah seorang kontak serumah dengan wanita 58 tahun itu dan seorang lagi porter yang bekerja di CGH.

Kes yang terakhir adalah seorang wanita 69 tahun yang bekerja sebagai penolong jagaan kesihatan di CGH. Dia kali terakhir ke tempat kerjanya pada 21 Jun dan mengalami sakit-sakit badan pada 24 Jun. Wanita itu mendapatkan rawatan perubatan di sebuah poliklinik pada hari yang sama tetapi tidak diuji untuk COVID-19.

Dia kemudian demam dan sakit tekak pada sebelah petang 25 Jun dan mendapatkan rawatan perubatan di sebuah klinik doktor perubatan umum di mana wanita itu dirujuk untuk mendapatkan ujian COVID-19. Dia kemudian mendapatkan rawatan di CGH pula pada 26 Jun dan diuji COVID-19. Hasil ujiannya didapati positif.

Hasil-hasil daripada ujian berkala sebelum itu kesemuanya negatif.

Wanita itu menerima dos pertama vaksin pada 23 Jun.

Terdapat juga dua kes import, kesemuanya sudahpun dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik tiba di Singapura. Dalam kalangan mereka, salah seorang adalah rakyat Singapura atau penduduk tetap.

Tiada kes jangkitan baru yang dilaporkan di dormitori-dormitori pekerja hijrahan.

Secara keseluruhannya, Singapura melaporkan 14 kes baru COVID-19 pada Ahad (27 Jun).

LAGI 14 KES DIBENARKAN PULANG

Lagi 14 kes COVID-19 dikeluarkan hospital, membawa jumlah mereka yang sembuh sepenuhnya di Singapura kepada 62,195.

Sebanyak 148 kes masih menjalani rawatan di hospital. Empat pesakit dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi. Lagi 165 kes diasingkan dan menerima rawatan di kemudahan-kemudahan masyarakat. 

Setakat Ahad, Singapura melaporkan 62,544 kes COVID-19 secara keseluruhannya dan 36 kematian.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan