12 kelompok baru COVID-19 dikesan; Pusat Penjaja Yuhua ditutup hingga 19 Ogos
Sebanyak 12 kelompok baru COVID-19 dikenal pasti pada Rabu (4 Ogos) sekali gus membawa jumlah kelompok aktif di Singapura kepada 112, dengan jumlah kes jangkitan antara tiga hingga 1,115.
(Gambar: NEA)
SINGAPURA: Sebanyak 12 kelompok baru COVID-19 dikenal pasti pada Rabu (4 Ogos) sekali gus membawa jumlah kelompok aktif di Singapura kepada 112, dengan jumlah kes jangkitan antara tiga hingga 1,115.
Sembilan kes ditambah kepada kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong/Pasar dan Pusat Makanan Hong Lim yang kini menjadi 1,115 kes. Ia kekal sebagai kelompok aktif terbesar di Singapura.
PUSAT PENJAJA YUHUA DITUTUP SELEPAS KES COVID-19 DIKESAN
Pusat Penjaja Yuhua di Jurong East ditutup kepada orang ramai selama dua minggu selepas tujuh kes COVID-19 dikesan dalam kalangan individu yang bekerja atau mengunjungi pusat penjaja itu.
Kes tersebut dikesan sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas kes jangkitan melibatkan pasar dan pusat makanan, yang mungkin bermula daripada penjual ikan yang mengunjungi Pelabuhan Perikanan Jurong, menurut MOH.
Penutupan pusat penjaja itu dari 5 hingga 19 Ogos adalah bagi memutuskan rantaian penularan dan membolehkan kerja-kerja pembersihan rapi dijalankan di premis berkenaan, menurut MOH.
Semua pekerja di pusat penjaja itu sudahpun dikenakan kuarantin dan akan diuji bagi COVID-19 sepanjang tempoh kuarantin, tambah MOH.
Ujian percuma juga ditawarkan kepada orang ramai yang mengunjungi Pasar dan Pusat Penjaja Yuhua antara 21 Julai hingga 4 Ogos.
Pengunjung dinasihati supaya memantau kesihatan mereka dengan teliti dan mengurangkan interaksi sosial selama 14 hari dari tarikh kunjungan mereka ke pusat penjaja berkenaan.
Butiran mengenai operasi ujian boleh didapati di https://go.gov.sg/yuhua-testing.
Setakat Rabu, Singapura melaporkan jumlah terkumpul 65,410 kes COVID-19 dan 39 kematian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.