11 penyedia jagaan kesihatan swasta dibenar bawa masuk vaksin Sinopharm
Sejumlah 11 penyedia jagaan kesihatan swasta di Singapura sudah diluluskan untuk membawa masuk vaksin COVID-19 Sinopharm.
Gambar fail: REUTERS
SINGAPURA: Sejumlah 11 penyedia jagaan kesihatan swasta di Singapura sudah diluluskan untuk membawa masuk vaksin COVID-19 Sinopharm.
Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Jumaat (30 Jul) menyatakan bahawa setakat sehingga 28 Julai, ia sudah meluluskan 11 permohonan daripada hospital dan klinik swasta untuk membawa masuk vaksin buatan China itu menerusi laluan akses khas.
"Risiko menggunakan vaksin COVID-19 yang diluluskan di bawah (laluan akses khas) ditanggung sepenuhnya oleh doktor dan penerima vaksin," tambah HSA.
Di bawah laluan akses khas, penyedia jagaan kesihatan swasta boleh membuat permohonan untuk membawa masuk vaksin COVID-19 yang belum diluluskan oleh HSA di bawah laluan akses khas pandemik (PSAR). Sejauh ini, hanya vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech dan Moderna yang diluluskan di bawah PSAR.
Vaksin-vaksin yang dibawa masuk di bawah laluan akses khas mesti diluluskan untuk kegunaan darurat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang meluluskan vaksin Sinopharm pada 7 Mei.
Mediacorp melaporkan pada 28 Julai bahawa IHH Healthcare Singapore menyatakan ia sudah mendapat kelulusan HSA untuk mengimport vaksin tersebut.
Sekurang-kurangnya lagi dua institusi jagaan kesihatan swasta, Raffles Medical Group dan Pusat Pakar StarMed juga sedang menimbangkan untuk membawa masuk vaksin Sinopharm.
Vaksin Sinopharm menggunakan sejenis koronavirus yang tidak aktif, serupa dengan vaksin Sinovac.
Vaksin Sinopharm didapati 79 peratus berkesan melawan jangkitan bergejala COVID-19 serta kemasukan ke hospital akibat penyakit itu, menurut hasil percubaan fasa ketiga yang dijalankan di beberapa buah negara. Ia dihasilkan oleh Institut Bio Beijing bagi Produk Biologi, anak syarikat China National Biotech Group.
Vaksin itu terdiri daripada dua dos yang diberikan kepada penerimanya, selang tiga hingga empat minggu yang memisahkan kedua-dua dos tersebut dan disyorkan untuk digunakan oleh para individu yang berusia 18 tahun dan ke atas.
Pada Jun, Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan bahawa vaksin COVID-19 Sinovac boleh digunakan di Singapura di bawah laluan akses khas, selepas kegunaan daruratnya diluluskan oleh WHO.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.