Skip to main content

1 lagi pekerja Lapangan Terbang Changi antara 3 kes positif awal Omicron

Seorang lagi pekerja barisan hadapan di Lapangan Terbang Changi adalah antara tiga kes baru COVID-19 yang diuji positif awal bagi varian Omicron, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (10 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
1 lagi pekerja Lapangan Terbang Changi antara 3 kes positif awal Omicron

Para pelawat di Lapangan Terbang Changi Singapura pada 2 Dis 2021. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 11 Dec 2021 11:31AM Dikemas Kini : 11 Dec 2021 11:33AM

SINGAPURA: Seorang lagi pekerja barisan hadapan di Lapangan Terbang Changi adalah antara tiga kes baru COVID-19 yang diuji positif awal bagi varian Omicron, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (10 Dis).

Jangkitan tempatan itu, dikenal pasti sebagai Kes 276839, adalah seorang lelaki berusia 38 tahun yang bekerja sebagai anggota kakitangan khidmat penumpang di bahagian keberangkatan penumpang di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi.

MOH menyatakan lelaki itu tidak berinteraksi dengan tiga kes jangkitan varian Omicron yang dilaporkan sebelum ini. Dua daripada mereka disahkan dijangkiti varian Omicron manakala ujian pengesahan bagi individu ketiga masih lagi menanti keputusannya.

Tiada kaitan diketahui dengan kes yang dilaporkan sebelum ini, juga melibatkan seorang anggota kakitangan khidmat penumpang Lapangan Terbang Changi.

Lelaki berumur 38 tahun itu diuji bagi COVID-19 pada 9 Disember sebagai sebahagian daripada ujian rutin berjadual untuk kakitangan barisan hadapan yang bertugas di sempadan negara.

Lelaki berkenaan tidak bergejala dan menjalani pengasingan kendiri di rumah sebaik sahaja dia dimaklumkan tentang hasil ujiannya, menurut Kementerian Kesihatan dalam kenyataan media pada lewat Jumaat malam.

2 KES IMPORT TIBA DI S'PURA MELALUI VTL UK

Dua lagi kes adalah kes jangkitan import yang melakukan perjalanan ke Singapura dari United Kingdom (UK) melalui laluan perjalanan penumpang divaksin (VTL).

Kes 276794 adalah seorang wanita berumur 30 yang pulang ke tanah air pada 8 Disember. Dia diuji negatif COVID-19 bagi ujian yang dijalani sebelum berangkat dari UK pada 7 Disember.

Ujian PCR wanita itu sebaik tiba pada 9 Disember adalah positif. MOH menyatakan wanita itu sebagai disyaki dijangkiti varian Omicron pada 10 Disember disebabkan oleh pengesanan "Kegagalan Sasaran Gen-S".

Sebelum wanita itu dibawa ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID), dia menjalani pengasingan kendiri di rumahnya.

Satu lagi kes melibatkan seorang lelaki berumur 26 tahun yang juga melakukan perjalanan ke Singapura pada 8 Disember. MOH menyatakan lelaki itu, dikenal pasti sebagai Kes 276796, tidak berinteraksi dengan wanita berumur 30 tahun tersebut sewaktu penerbangan.

Ujian yang dijalani di UK pada 6 Disember sebelum melakukan perjalanan adalah negatif. Namun, ujian PCR sewaktu tiba di sini pada 9 Disember adalah positif. Lelaki itu disyaki dijangkiti varian Omicro pada 10 Disember.

Dia menjalani pengasingan kendiri di sebuah tempat penginapan yang dicari sendiri sebelum dibawa ke NCID.

Kesemua tiga kes itu sudah lengkap divaksin dan tidak bergejala, menurut MOH, sambil menambah mereka sedang beransur pulih di wad pengasingan di NCID.

"MOH sedang mengawal kes-kes itu melalui pengesanan kontak," tambah kementerian itu.

Penjujukan genom menyeluruh ke atas kesemua tiga kes itu sedang dijalankan oleh Makmal Kesihatan Awam Negara untuk mengesahkan varian tersebut.

Semua kontak rapat kes akan diletakkan di bawah kuarantin selama 10 hari di kemudahan yang dikhususkan dan menjalani ujian PCR pada awal dan akhir tempoh kuarantin mereka, menurut MOH.

Semua pekerja lapang terbang kini menjalani ujian rutin pada setiap minggu. Semua kakitangan lapangan terbang di bawah ujian rutin akan dikehendaki mengambil ujian pantas antigen setiap hari selama tujuh hari berikutnya.

"Memandangkan kebolehjangkitannya yang tinggi dan sudah merebak ke banyak negara di dunia, kita harus menjangkakan untuk mengesan lebih banyak kes Omicron di sempadan serta juga dalam kalangan masyarakat kita," menurut MOH.

Singapura melaporkan 454 kes baru COVID-19 pada Jumaat. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita