Skip to main content

Iklan

Iklan

1 kes tiada hubung kait dalam masyarakat antara 8 kes baru COVID-19 di S'pura

Singapura melaporkan satu kes tempatan baru COVID-19 setakat tengah hari Ahad (11 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
1 kes tiada hubung kait dalam masyarakat antara 8 kes baru COVID-19 di S'pura

Gambar fail: CNA

Diterbitkan : 11 Jul 2021 10:38PM Dikemas Kini : 11 Jul 2021 10:44PM

SINGAPURA: Singapura melaporkan satu kes tempatan baru COVID-19 setakat tengah hari Ahad (11 Jul).

Kes tersebut buat masa ini tiada hubung kait dengan mana-mana kes lalu, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini hariannya.

Terdapat juga tujuh kes import dan semuanya sudah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sejurus tiba di sini. Satu daripadanya dikesan sebaik tiba di Singapura manakala lagi enam jatuh sakit ketika menjalani tempoh pengasingan.

Secara keseluruhannya, Singapura melaporkan lapan kes baru COVID-19 pada Ahad.

MOH menyatakan bilangan kes baru dalam masyarakat turun kepada 15 kes pada minggu lalu daripada 26 kes pada minggu sebelumnya.

Namun, jumlah kes tanpa hubung kait dalam masyarakat naik kepada sembilan kes minggu lalu daripada dua kes pada minggu sebelumnya.

Terdapat 20 kelompok aktif sejauh ini - antara tiga dengan 94 kes jangkitan.

Oleh kerana tiada lagi kes yang dikaitkan dengan Kes 64183 dan kelompok Marina Ariel sepanjang dua tempoh inkubasi, kelompok-kelompok itu kini ditutup.

MOH menyatakan 77 kes sedang dirawat di hospital, sebahagian besarnya beransur pulih dan dipantau.

Terdapat enam kes sakit teruk yang memerlukan bantuan pernafasan dan lagi dua dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

"Bukti terus menunjukkan bahawa vaksinasi membantu mencegah penyakit teruk apabila seseorang itu dijangkiti," menurut MOH.

"Sepanjang 28 hari yang lalu, 23 kes tempatan memerlukan bantuan pernafasan dan dimasukkan ke ICU atau meninggal dunia. 19 kes belum divaksinasi, empat sudah menerima satu dos vaksin dan tiada yang sudah divaksinasi sepenuhnya."

Singapura akan melonggarkan sekatan COVID-19 mulai Isnin (12 Jul) di tengah-tengah kemerosotan kes jangkitan dalam masyarakat.

Kegiatan duduk makan di luar akan dibenarkan bagi kumpulan sehingga lima orang. Sukan dan senaman di tempat tertutup tanpa memakai pelitup juga boleh disambung semula. Majlis perkahwinan pula boleh diadakan dengan tidak lebih 250 orang, sekiranya ujian praacara dijalankan.

Perhimpunan sosial di tempat kerja juga boleh diteruskan semula. Sekalipun demikian bekerja dari rumah kekal menjadi aturan pilihan, menurut MOH pada Rabu.

Setakat Ahad, Singapura melaporkan 62,692 kes COVID-19 secara keseluruhannya dan 36 kematian akibat koronavirus itu.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan