1 kes positif COVID-19 dikesan di pintu masuk M'sia pada hari pertama VTL S'pura-M'sia
Satu kes positif COVID-19 dikesan pada hari pertama skim laluan perjalanan penumpang divaksin (VTL) antara Malaysia dengan Singapura.

Gambar Hiasan. Kumpulan pertama penumpang VTL darat dari Singapura tiba di Stesen Larkin di Johor Bahru. (Gambar: CNA)
SHAH ALAM: Satu kes positif COVID-19 dikesan pada hari pertama skim laluan perjalanan penumpang divaksin (VTL) antara Malaysia dengan Singapura.
Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin berkata kes positif itu dikesan pagi tadi (29 Nov) menerusi saringan yang dijalankan di pintu masuk Malaysia, lapor BHOnline.
Beliau berkata tindakan cepat dan pantas sedemikian penting bagi memastikan penularan jangkitan, termasuk daripada risiko varian baru Omicron, berupaya ditangani sepenuhnya.
"Kita buat semua keputusan bersandarkan sains, justeru kementerian tegas untuk tetap melaksanakan saringan apabila mereka tiba di pintu masuk negara.
"Walaupun mereka yang masuk menerusi VTL dikehendaki membuat saringan 72 jam sebelum hari perjalanan tetapi ia masih membuka ruang kepada pelbagai kemungkinan.
"Keputusan ini terbukti tepat apabila kita kesan satu kes positif pagi ini bila tiba di Malaysia," katanya ketika menyampaikan ucaptama Majlis Penghargaan Petugas Barisan Hadapan COVID-19 Institut Kesihatan Negara (NIH) - Kementerian Kesihatan (KKM) di Shah Alam hari ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.