Skip to main content

Iklan

Iklan

1 kes masyarakat antara 16 kes jangkitan baru COVID-19 di S'pura

Singapura melaporkan 16 kes jangkitan baru COVID-19 setakat tengah hari Rabu (5 Mei) termasuk satu kes dalam masyarakat, menurut Kementerian Kesihatan (MOH). 

Anggaran Waktu Membaca:
1 kes masyarakat antara 16 kes jangkitan baru COVID-19 di S'pura

Pejalan kaki di Singapura. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 05 May 2021 04:22PM Dikemas Kini : 05 May 2021 04:23PM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 16 kes jangkitan baru COVID-19 setakat tengah hari Rabu (5 Mei) termasuk satu kes dalam masyarakat, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Kes itu tidak terkait dengan kelompok di Hospital Tan Tock Seng.

Selebihnya adalah kes import dan sudahpun dikenakan notis jangan keluar rumah setibanya di Singapura, tambah MOH dalam kemas kini awalnya.

Tiada kes baru dilaporkan di dormitori pekerja asing.

Butiran lanjut mengenai kes-kes baru itu akan diumumkan Rabu malam.

SEKATAN COVID-19 LEBIH KETAT

Di tengah-tengah kenaikan dalam kes masyarakat, Singapura akan mengurangkan had perhimpunan sosial kepada lima orang
berbanding lapan orang sekarang dari 8 hingga 30 Mei.

Had itu juga dikenakan kepada isi rumah yang hanya dapat menerima lima tetamu berbeza dalam sehari.

Ini adalah sebahagian daripada langkah-langkah lebih ketat yang diumumkan pada Selasa (4 Mei) yang akan membawa Singapura kembali ke Fasa 2 pembukaan semula buat beberapa minggu.

Jumlah pekerja yang kembali ke tempat kerja juga akan dikurangkan kepada 50 peratus berbanding 75 peratus sekarang.

Beberapa langkah lain yang diumumkan termasuk penutupan gim tertutup, pengujian sebelum acara bagi khidmat-khidmat keagamaan dan pawagam serta pengurangan dalam saiz acara.

Penggunaan wajib SafeEntry menggunakan hanya TraceTogether di tempat-tempat berisiko lebih tinggi juga akan dipercepatkan sekitar dua minggu kepada 17 Mei.

Langkah-langkah sempadan juga diperketatkan. Para pelawat dari tempat-tempat berisiko lebih tinggi perlu menjalani notis jangan keluar rumah selama 21 hari di kemudahan-kemudahan yang dikhususkan mulai 8 Mei.

Syarat-syarat ke atas pelawat yang tiba ke negara ini akan ditentukan mengikut sejarah perjalanan mereka sepanjang 21 hari sebelumnya, lebih lama daripada tempoh sejarah perjalanan 14 hari sekarang.

Pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 Lawrence Wong berkata bahawa meskipun pihak berkuasa berharap langkah-langkah tersebut akan memperlahankan penularan penyakit itu, kemungkinan satu lagi pemutus rantaian jangkitan tidak diketepikan.

"Jika kes-kes baru yang tidak terkait terus muncul dalam beberapa hari dan minggu mendatang, maka semestinya, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah-langkah lebih ketat bahkan mungkin juga menguatkuasakan satu lagi tempoh pemutus rantaian jangkitan pada masa akan datang," kata beliau.

Setakat Rabu, Singapura melaporkan sebanyak 61,268 kes COVID-19 dan 31 kematian akibat penyakit itu.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan