Skip to main content

Iklan

Iklan

1 kes baru COVID-19 di S'pura terkait kelompok Masjid Al-Muttaqin

Seorang jemaah Masjid Al-Muttaqin merupakan antara 47 kes baru yang disahkan dijangkiti COVID-19 di Singapura pada Rabu (18 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
1 kes baru COVID-19 di S'pura terkait kelompok Masjid Al-Muttaqin

(Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 19 Mar 2020 12:22AM Dikemas Kini : 19 Mar 2020 02:22AM

BERITAmediacorp: Seorang jemaah Masjid Al-Muttaqin merupakan antara 47 kes baru yang disahkan dijangkiti COVID-19 di Singapura pada Rabu (18 Mac).

Menurut satu kenyataan Kementerian Kesihatan (MOH), lelaki warga Singapura berusia 58 tahun itu dikaitkan dengan Kes 183 dan Kes 252 dalam kelompok Masjid Al-Muttaqin.

Beliau disahkan positif COVID-19 pada Rabu dan kini dirawat di bilik pengasingan di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Ini menjadikan tiga orang kesemuanya yang terkait dengan kelompok Masjid Al-Muttaqin, di Ang Mo Kio Avenue 6.

Kes 183 telah menghadiri perhimpunan tabligh di Kuala Lumpur dari 28 Feb hingga 1 Mac. Lelaki warga Singapura berusia 29 tahun itu disahkan positif COVID-19 pada 12 Mac pagi. Beliau telah mengunjungi Masjid Al-Muttaqin pada 6 Mac antara 1 tengah hari hingga 2 petang dan antara 4 petang hingga 6 petang. Kes 252, lelaki tempatan, 66 tahun baru disahkan terkait dengan Kes 183 pada Rabu. Beliau diuji positif dijangkiti virus tersebut pada 17 Mac pagi.

Masjid Al-Muttaqin adalah antara 10 masjid yang disenaraikan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sebagai tempat yang dikunjungi lima rakyat Singapura yang disahkan positif COVID-19, setelah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling.

Masjid-masjid lain adalah Masjid Al-Iman, Masjid Hajjah Fatimah, Masjid Hajah Rahimabi Kebun Limau, Masjid Kassim, Masjid Petempatan Melayu Sembawang, Masjid Sultan, Masjid Al-Mawaddah, Masjid Jamae (Chulia) dan Masjid Al-Istiqamah.

MUIS dalam satu kenyataannya pada 15 Mac menggesa jemaah yang mengunjungi masjid-masjid yang tersenarai semasa tempoh antara 3 hingga 11 Mac, supaya memantau kesihatan mereka dengan teliti selama dua minggu selepas kunjungan terakhir ke masjid.

Ini kerana mereka mungkin terdedah kepada kes virus COVID-19.

Simptom-simptom yang harus dipantau termasuk demam atau gejala pernafasan seperti batuk, sakit tekak, hidung berair atau sesak nafas.

Mereka juga dinasihati supaya mendapatkan rawatan perubatan dengan segera jika mereka mengalami simptom-simptom tersebut atau berasa kurang sihat.

MUIS juga menasihati supaya para jemaah memakai pelitup dan menghubungi klinik sebelum berkunjung ke sana dan memaklumkan doktor mengenai kehadiran mereka di kegiatan-kegiatan terjejas yang dikaitkan dengan kes COVID-19.

"Ini adalah peringatan yang sangat tepat pada masanya bagi setiap daripada kita untuk mengambil langkah-langkah pencegahan penting bagi memastikan diri kita dan orang-orang tersayang sihat pada masa-masa sebegini.

"Ini tentu sekali termasuk amalan terbaik dalam kebersihan peribadi serta tingkah laku untuk menjalankan tanggungjawab sosial," menurut MUIS.

Sumber : BERITA Mediacorp/SU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan