Images
  • Zakir Naik
    Pendakwah bebas, Dr Zakir Naik. (Gambar: Facebook Zakir Naik)

Zakir Naik berstatus Penduduk Tetap M'sia, Zahid Hamidi sedia kerjasama jika India mohon siasatan

PUTRAJAYA: Pendakwah antarabangsa dari India, Dr Zakir Naik, bertaraf penduduk tetap di Malaysia dan bukannya warganegara, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata penceramah itu tidak menetap di Malaysia sebaliknya tinggal di beberapa negara lain.

"Beliau (Zakir) mendapat status penduduk tetap pada lima tahun lepas, beliau bukan warganegara Malaysia," katanya ketika ditanya pemberita sama ada Zakir adalah warganegara Malaysia.

Beliau ditemui selepas merasmikan Persidangan Ekologi Manusia Antarabangsa 2017 hari ini.

Pada November tahun 2016, Hindustan Times di India melaporkan bahawa Zakir diberi kerakyatan Malaysia namun perkara itu dinafikan Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed.

Mengulas laporan mengenai Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) yang dilaporkan memutuskan untuk mendapatkan notis Interpol terhadap Zakir, Ahmad Zahid berkata Malaysia sedia memberi kerjasama penuh jika kerajaan India memohon Bantuan Undang-Undang Bersama (MLA) dalam siasatan terhadap Zakir.

MLA boleh diperolehi jika negara itu ada hubungan dan perjanjian dengan negara kita, katanya.

Ditanya sama ada Malaysia akan menyerahkan Zakir kepada pihak India sekiranya pendakwah itu berada di Malaysia, Ahmad Zahid berkata, "ia bukan soal serah menyerah tetapi mengenai siasatan".

"Kita ikut sistem undang-undang negara kita dan ikut kerangka diplomatik yang ada, kalau ada permohonan bagi MLA, kita akan beri kerjasama penuh," katanya

Baru baru ini, Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) memutuskan untuk mendapatkan notis Interpol terhadap Zakir bagi menghalang pergerakannya keluar dari Arab Saudi selepas beliau ingkar saman berulang kali terhadapnya agar satu siasatan dibuat terhadapnya.

Zakir didakwa menghasut golongan muda Islam untuk terbabit dalam keganasan dan menganjurkan permusuhan antara masyarakat berasaskan agama dan kaum.

Bagaimanapun, Zakir dalam satu persidangan di Kuala Lumpur pada Ahad lepas, dilaporkan berkata meminta kerajaan India mencarinya di Malaysia.

Pendakwah itu didakwa melarikan diri ke Arab Saudi selepas siasatan dimulakan terhadapnya dan badan bukan kerajaan naungannya, Islamic Research Foundation, berhubung dakwaan propaganda keganasan. 

- Bernama/nk

Komen Anda?

Top