Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Zahid Hamidi: UMNO Sasar BN Menang Majoriti Dua Pertiga

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bergerak secara holistik dalam usaha Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Anggaran Waktu Membaca:
Zahid Hamidi: UMNO Sasar BN Menang Majoriti Dua Pertiga

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar fail: AFP/ ROSLAN RAHMAN)

Diterbitkan : 06 Dec 2017 02:17PM Dikemas Kini : 06 Dec 2017 02:20PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bergerak secara holistik dalam usaha Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Beliau yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata: "Apa yang kita perjuangkan adalah menguasai dua pertiga kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan majoriti lebih besar.

"Ketahuilah wahai bangsaku, satu undi kepada BN bermaksud satu undi kepada pembentukan sebuah kerajaan Persekutuan yang berwibawa dan bertanggungjawab," katanya.

RAMPAS SEMULA KERUSI TERLEPAS

Encik Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata sehubungan itu, UMNO wajib mengekalkan semua kerusi yang dimenangi dan merampas semula kerusi yang terlepas kepada parti pembangkang sebelum ini.

"Kita 'retain and regain' (kekal dan rampas)" katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra semalam (5 Dis) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017.

Justeru itu, Encik Ahmad Zahid menegaskan UMNO dan BN perlu mempertahankan habis-habisan Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan pusat, daripada terjatuh ke tangan pihak lawan.

Kali akhir BN memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga adalah pada pilihan raya umum 2004.

FOKUS, KOMITED, DAHULUKAN KEPENTINGAN PARTI

Sehubungan itu Encik Ahmad Zahid menegaskan anggota UMNO perlu mendahulu kepentingan parti.

"Mereka yang tidak dicalonkan pada PRU14 perlu berlapang dada dan tidak melakukan sesuatu tindakan yang boleh melumpuhkan gerak kerja parti.

"Jauhi sikap buruk seperti mencari 'personal glory' (kemegahan peribadi). Kita berjuang untuk parti... melangkah sebagai satu pasukan mantap," tegas Ahmad Zahid.

Beliau juga meletakkan harapan kepada ketiga-tiga sayap UMNO tersebut dalam menuju PRU14.

"Sayap Wanita, dengan berbekalkan pendekatan 'hightouch' atau bersemuka, turun mengetuk pintu hati rakyat... bukan sekadar mengetuk pintu rumah".

Bagi sayap Pemuda, Encik Ahmad Zahid menyampaikan amanatnya: "Jejaklah setiap desa dan ceruk rantau. Bersemukalah dengan rakyat agar mereka dapat penjelasan dan tidak terus terperangkap oleh percaturan politik tempang pembangkang."

"Kita juga mahu Pergerakan Puteri terus dampingi wanita muda dalam usaha menarik sokongan mereka terhadap parti dan BN," tegasnya.

Sehubungan itu katanya jentera pilihan raya UMNO perlu bergerak secara holistik sebaik presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak membunyikan semboyan pilihanraya.

PERJUANGAN DEMI SEMUA RAKYAT

Encik Ahmad Zahid turut menggariskan tujuh manifesto bangsa yang diperjuangkan oleh UMNO selamanya, sekaligus menunjangi persada politik negara serta boleh dijadikan penanda aras oleh rakyat.

"Sesungguhnya, UMNO tidak mengamalkan agenda sempit. Kami memperjuangkan nasib umat Melayu semata-mata.

"UMNO mengamalkan politik keterangkuman yang memperjuangkan seluruh rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan kaum," katanya.

Dalam bidang ekonomi pula, beliau berkata UMNO sentiasa memperjuang kesejahteraan ekonomi negara demi faedah rakyat keseluruhannya.

SEKOLAH DIGITAL AKAN DIWUJUDKAN

Encik Ahmad Zahid turut memberitahu bahawa persekolahan digital akan diwujudkan di bawah lembayung pengangkasaan pendidikan.

Ia bagi mendedahkan warga masa depan dalam menghadapi kebangkitan era digital sesuai pada zamannya.

UMNO katanya akan terus memperjuangkan keselamatan negara dan ketenteraman awam demi keharmonian seluruh masyarakat.

Selain itu, timbalan perdana menteri juga berkongsi usaha UMNO dalam mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu, agama Islam sebagai agama persekutuan dan peranan mengangkat martabat negara di peringkat antarabangsa.

Mengakhiri ucapannya di hadapan 2,978 anggota perwakilan ketiga-tiga sayap UMNO itu, Encik Ahmad Zahid merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang sudah memberikan keyakinan, kepercayaan serta sokongan padu bagi membolehkan UMNO terus teguh memperjuangkan kepentingan semua kaum di negara ini.

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan