Images
  • Zakir Naik
    Dr Zakir Naik. (Gambar: Facebook Dr Zakir Naik Terengganu Tour)

Waran tangkap tanpa jaminan dikeluarkan terhadap Zakir Naik

INDIA: Mahkamah khas Agensi Penyiasatan Nasional India (NIA) India mengeluarkan waran tanpa jaminan terhadap tokoh agama, Dr Zakir Naik kerana didakwa terlibat dalam kes berkaitan pengganasan.

Agensi itu memberitahu mahkamah berkenaan bahawa Dr Zakir gagal tampil walaupun tiga saman sudah dikeluarkan terhadapnya dan NIA akan mendapatkan bantuan Interpol untuk membawanya pulang ke India, lapor The Times of India.

NIA sudah mendaftarkan kes terhadap Dr Zakir di bawah Akta (Pencegahan) Kegiatan Menyalahi Undang-Undang tahun lalu.

Pemerintah India juga mendapatkan notis merah Interpol terhadap tokoh itu yang memimpin Yayasan Penyelidikan Islam untuk mengawal pergerakannya di Arab Saudi yang menjadi pangkalan kegiatannya.

Minggu lalu, satu lagi mahkamah di India juga mengeluarkan waran tanpa jaminan terhadap Dr Zakir atas kesalahan penyeludupan wang haram.

Tokoh agama berusia 51 tahun itu meninggalkan India tahun lalu, dipercayai untuk mengelak daripada ditahan menyusuli serangan pengganas di Dhaka yang didakwa berlaku atas rangsangannya, lapor laman mStar.

Susulan itu, NIA mendaftarkan kes tersebut terhadapnya dan beberapa pegawai yang mengawasi kegiatannya.

Baru-baru ini, Dr Zakir berada di Malaysia untuk menerima anugerah yang disampaikan pertubuhan bukan kerajaan, Perkasa.

Beliau juga memperoleh status Penduduk Tetap (PR) Malaysia sejak lima tahun lalu, lapor mStar.

- Agensi berita/nk

Komen Anda?

Top