Images
  • rape
    Gambar hiasan. (Gambar: Merdeka.com)

Wanita dirogol beramai-ramai, dibunuh dengan kejam

INDIA: Seorang wanita India dirogol secara beramai-ramai dan kemudian dibunuh dengan kejam oleh beberapa orang lelaki yang meremukkan tengkoraknya dengan batu selepas wanita tersebut mengugut untuk memberitahu pihak berkuasa, menurut polis di bahagian utara Haryana, pada Isnin (15 Mei).

Dua lelaki ditangkap kerana merogol dan membunuh di bandar Sonipat, dan enam lagi sedang disiasat selepas ibu mangsa membuat tuduhan atas pelibatan mereka dalam kes tersebut, menurut Ashwin Shenvi, Superintenden Polis, yang memberitahu agensi berita Reuters.

Wanita berusia 23 tahun yang bekerja sebagai seorang buruh, diculik oleh lelaki-lelaki itu - dengan salah seorang daripada mereka mengenali wanita tersebut - dengan kereta dari rumahnya di Sonipat ke Rohtak yang terletak berdekatan, di mana mereka merogol wanita tersebut, kata Shenvi.

"Apabila mangsa memberitahu mereka bahawa dia akan membuat aduan, mereka mengetuk tengkorak wanita itu dengan batu-batu," katanya.

"Cara mereka membunuh mangsa sangat mengerikan." kata Shenvi dalam laporan Al-Jazeera.

Wanita tersebut dilaporkan hilang pada 9 Mei. Tubuhnya yang sudah reput dijumpai di tanah lapang di Rohtak, dua hari selepas kejadian itu.

Mereka juga cuba mencacatkan wajah wanita tersebut agar dia sukar dikenali, menurut laporan media tempatan, yang memetik laporan bedah siasat.

Keganasan seksual terhadap wanita mendapat perhatian ramai di India.

Aktivis-aktivis wanita dan ahli politik menuntut keadilan bagi mangsa itu, dengan kesnya menyerupai kes rogol yang menyebabkan kematian Jyoti Singh, seorang pelajar yang menaiki bas di New Delhi, pada tahun 2012.

Kes itu mencetuskan bantahan besar-besaran di seluruh India dan kegagalan pihak berkuasa untuk memberikan perlindungan yang sewajarnya turut dikecam. 

- Agensi berita/ur

Komen Anda?

Top
>