Images
  • Rajabbi
    Pirov bersama Cik Rajabbi pada hari perkahwinan mereka. (Gambar: Bakunights/Facebook)

Wanita bunuh diri gara-gara suami tidak percaya beliau masih dara; didesak beri izin kahwin lagi

TAJIKISTAN: Seorang lelaki didakwa kerana menjadi penyebab isterinya membunuh diri. Dia dituduh memaksa isterinya menjalani ujian-ujian bagi mengesahkan sama ada beliau masih dara sebelum berkeras untuk bernikah dengan isteri kedua kerana tidak percaya kepada keputusan ujian tersebut.

Rajabbi Khurshed, 18 tahun, membunuh diri dengan meminum cuka dalam jumlah yang terlalu banyak sehingga meragut nyawanya, 40 hari selepas hari pernikahannya dengan Zafar Pirov, 24 tahun.

Perkahwinan mereka diatur keluarga dan mereka tidak pernah mengenali antara satu sama lain sebelum itu, lapor laman Daily Mail.

Meskipun Cik Rajabbi sudah menjalani dan lulus ujian-ujian yang diwajibkan pemerintah – termasuk ujian bagi mengesahkan sama ada beliau masih dara – Pirov mengakui dia memaksa isterinya itu supaya menjalani ujian tersebut lagi dua kali.

Walaupun Cik Rajabbi lulus kedua-dua ujian tersebut, Pirov masih tidak mempercayainya, lapor Daily Mail.

Bercakap kepada stesen Radio Free Europe, keluarga Cik Rajabbi – yang mengaturkan ‘jodoh’ pasangan tersebut, mendedahkan semasa sedang tenat Cik Rajabbi memberitahu mereka beliau mengalami tekanan hebat supaya menerima permintaan Pirov untuk berkahwin lagi. Cik Rajabbi juga berkata beliau “tidak boleh tahan lagi”.

Sebagai mempertahankan dirinya, Pirov bagaimanapun berkata: “Isteri saya memberi saya kenyataan bertulis yang menyatakan beliau mengizinkan saya untuk mendapatkan isteri kedua kerana beliau sudah tidak dara lagi semasa kami bernikah.”

Ibu Cik Rajabbi, Fazila Mirzoeva begitu bersedih atas kematian anaknya, yang beliau sifatkan sebagai mangsa “fitnah dan keganasan”, sehingga beliau merayu kepada Presiden negara itu, Emomali Rahmon, supaya membantu mereka.

Cik Fazila berkata, anaknya Cik Rajabbi tidak pernah mempunyai teman lelaki apalagi melakukan hubungan seks dengan sesiapa sebelum bernikah, lapor Daily Mail.

Remaja itu berhenti sekolah untuk membantu menjaga dua saudara lelaki beliau yang kurang upaya, tambah Cik Fazila.

Pirov boleh dijatuhi hukuman penjara selama lapan tahun jika bersabit kesalahan menyebabkan Cik Rajabbi membunuh diri.

Ujian-Ujian bagi mengesahkan sama ada seseorang wanita masih dara atau tidak, yang dijalankan sebelum bernikah, adalah biasa di Tajikistan, di mana hubungan seks bebas tidak diterima dalam kehidupan sosial masyarakat di sana.

Sejak tahun 2015, lelaki dan wanita diwajibkan menjalani pemeriksaan perubatan sebelum bernikah, namun khusus bagi wanita ini termasuk ujian “kesucian”.

Meskipun Cik Rajabbi lulus semua ujian tersebut dan memperolehi surat doktor yang mengesahkan beliau masih lagi dara, Pirov terus menerus mendesak beliau supaya mendedahkan perkara ‘sebenar’, menurut laporan Daily Mail.

Beberapa minggu kemudian, Pirov mengaku beliau sebenarnya mahu membawa isteri keduanya ke rumah mereka.

Sejauh ini, terdapat hampir 600 kes mahkamah mengenai pertikaian berkaitan kesucian wanita di Tajikistan sejak tahun 2014, lapor media Britain itu.

- Agensi berita/nk

Komen Anda?

Top