Images
  • Wan Azizah (1)
    Wan Azizah Wan Ismail. (Gambar: AFP/Mohd Rasfan)

Wan Azizah dan 2 lagi perlu bayar ganti rugi RM2 juta kepada Felda

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini (5 Dis) memerintahkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua yang lain membayar ganti rugi berjumlah RM2 juta (S$660,000) kepada Felda dan anak syarikatnya berhubung penerbitan artikel berunsur fitnah, tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Su Geok Yiam memerintahkan Wan Azizah, bekas Senator Dr Syed Husin Ali dan penulis artikel Rusnizam Mahat membayar ganti rugi RM2 juta (S$660,000) sebagai ganti rugi am dan teruk selepas membenarkan rayuan Felda dan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) selaku perayu terhadap ganti rugi RM70,000 (S$23,000) yang diputuskan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 13 Februari lalu.

Cik Su dalam penghakiman lisannya berkata mahkamah bersetuju dengan hujahan peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, mewakili Felda bahawa ganti rugi RM70,000 (S$23,000) dan kos RM10,000 (S$3,300) yang diberikan kepada perayu sebelum ini adalah terlampau rendah dan sepatutnya dinaikkan.

Beliau berkata timbalan pendaftar yang mengeluarkan perintah terhadap ganti rugi itu sebelum ini gagal untuk menilai bahawa artikel bertajuk 'Felda Bankrap' dan artikel berserta gambar bertajuk 'Kontroversi' dan 'Bina Bangunan RM662 Juta Hanya Libatkan Tiga Individu' menyebabkan perayu mengalami kerugian kewangan dan saham Felda turut mengalami kemerosotan.

Mahkamah juga, katanya, berpendapat bahawa jika jumlah itu tidak diketepikan dan digantikan dengan jumlah ganti rugi yang sewajarnya, ia boleh menyebabkan semua pihak memandang remeh kepada kes fitnah yang dilemparkan terhadap badan berkanun.

"Ia menyebabkan mereka rasa mereka boleh melakukan perkara yang sama (memfitnah) ke atas badan berkanun dan terlepas begitu sahaja dengan hanya membayar jumlah ganti rugi yang rendah. Ini memberikan mesej yang salah kepada masyarakat di luar sana.

"Oleh itu, ia memerlukan langkah perundangan sewajarnya kepada peneroka Felda. Saya dengan ini melaksanakan kuasa budi bicara yang ada pada saya untuk membenarkan rayuan ini dan mengetepikan jumlah ganti rugi yang diberikan kepada perayu sebelum ini," katanya yang turut memerintahkan kesemua responden membayar kos RM25,000 (S$8,300) kepada perayu.

Selain Encik Mohd Hafarizam, Felda dan FGHV turut diwakili peguam Nor Emelia Mohd Iszeham manakala peguam Francis Pereira bertindak bagi kesemua responden.

Pada 17 Oktober 2014, Mahkamah Tinggi membenarkan saman Felda dan anak syarikatnya Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd selaku plaintif terhadap ketiga-tiga defendan berhubung penerbitan dua artikel fitnah dalam akhbar PKR 'Suara Keadilan'.

Pada 16 Ogos 2010, Felda dan anak syarikatnya memfailkan saman RM200 juta (S$66 juta) terhadap ketiga-tiga defendan atas dakwaan menyiarkan dua artikel yang memfitnah Felda dalam Suara Keadilan.

Felda mendakwa artikel itu, masing-masing disiarkan pada 22 dan 29 Jun 2010 bertajuk 'Felda Bankrap' dan artikel berserta gambar bertajuk 'Kontroversi' dan 'Bina Bangunan RM662 Juta Hanya Libatkan Tiga Individu' menjejaskan imej mereka.

Pada 30 Sept 2014, bekas editor 'Suara Keadilan', Dzulkarnain Taib, yang merupakan seorang daripada defendan, memohon maaf kepada Felda dan anak syarikatnya berhubung penerbitan dua artikel itu.

Beliau menyatakan bahawa artikel itu adalah palsu dan diterbitkan oleh 'Suara Keadilan' dengan tujuan untuk memperkecilkan pihak plaintif dan menjejaskan reputasi mereka.

- BERNAMA/FA/fa

Komen Anda?

Top