Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Usul PAS untuk putuskan kerjasama politik dengan PKR, dilulus sebulat suara

Usul dibentangkan wakil Dewan Ulama PAS Pusat Zulkifli Ismail itu mendapat sokongan padu lebih 1,000 perwakilan yang hadir.

Anggaran Waktu Membaca:
Usul PAS untuk putuskan kerjasama politik dengan PKR, dilulus sebulat suara

Muktamar PAS ke-63 yang bersidang pada hari kedua. (Gambar: Facebook/ Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat)

Diterbitkan : 30 Apr 2017 09:23PM Dikemas Kini : 30 Apr 2017 09:24PM

ALOR SETAR: Seperti dijangka, Muktamar PAS ke-63 yang bersidang pada hari kedua hari ini (30 Apr), sebulat suara meluluskan usul memutuskan hubungan kerjasama politik (tahaluf siyasi) dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Usul dibentangkan wakil Dewan Ulama PAS Pusat Zulkifli Ismail itu mendapat sokongan padu lebih 1,000 perwakilan yang hadir pada muktamar tersebut selepas Pengerusi Tetap parti Hussein Ismail bertanyakan sama ada bersetuju atau tidak sebanyak tiga kali, yang diiringi jawapan setuju daripada perwakilan.

"Siapa setuju kata setuju...setuju. Siapa setuju kata setuju...setuju. Siapa setuju kata setuju...setuju. Ini jelas menunjukkan isu ini sangat serius," katanya setelah mendengar gema laungan ''setuju'' yang kuat para perwakilan.

Zulkifli dengan penuh bersemangat lantang mendakwa PKR tidak lagi merupakan rakan politik yang setia sebaliknya beberapa kali "menikam PAS dari belakang".

"Hari ini kita berdepan dengan rakan tahaluf yang mewujudkan gelombang fahaman sekular dan sosialis dan gelombang ini sangat bahaya. Mereka (PKR) merupakan rakan tahaluf yang menikam Islam daripada belakang dan telah banyak berlaku pelanggaran syarat tahaluf," katanya ketika membentangkan usul itu.

Zulkifli membawa suara ketiga-ketiga - Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat - membentangkan usul memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR. Usul berkenaan menjadi isu utama ketiga-tiga dewan, dan sebelum ini pada mesyuarat 21 PAS kawasan.

Bagaimanapun, keputusan muktamad perkara itu hanya akan diputuskan oleh Majlis Syura Ulama PAS yang dipengerusikan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin.

Zulkifli berkata PKR terus bertindak tanpa mempedulikan PAS apabila menyokong calon lain yang turut menentang Barisan Nasional ketika pilihan raya kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

"Keceluparan dan kebiadapan mereka terhadap PAS tidak menunjukkan sikap setiakawan (PKR) dan hari ini kami ingin supaya tahaluf siyasi dengan PKR diputuskan dengan tertakluk kepada keputusan Majlis Syura Ulama PAS," katanya.

Wakil Pemuda PAS Pasir Mas Fadhli Shaari ketika bangun menyokong usul itu berkata tindakan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR dibuat selepas parti itu terus-menerus membelakangkan PAS dalam banyak perkara dan mencabar prinsip parti berteraskan Islam itu.

Sambil menyenaraikan lima insiden hubungan PAS-PKR pasca pilihan raya umum ke-13, beliau berkata PKR membelakangkan PAS dalam isu ''Langkah Kajang'' apabila semua keputusan dibuat tanpa perbincangan dengan PAS.

"Insiden kedua, sikap PKR yang jelas tidak menyokong usaha PAS untuk memperkasa Mahkamah Syariah. Ketiga tindakan PKR mencuri anggota PAS manakala insiden keempat apabila PKR terus menerus berada sepentas dengan parti serpihan PAS.

"Selain itu, PKR juga melanggar prinsip satu lawan satu apabila mereka terang dan jelas menyokong parti ketiga yang bertanding pada pilihan raya umum Sungai Besar sehingga memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional," katanya.

Fadhli berkata jika diikutkan, banyak lagi insiden yang ''mewajibkan'' PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Isu tahaluf siyasi PAS dengan rakan sekutu dalam gabungan pakatan pembangkang - DAP dan PKR - menjadi antara isu utama yang dibincangkan perwakilan bermula sejak Muktamar PAS ke-59 pada 2013 kerana ia dilihat tidak menguntungkan PAS.

Pada 2015, PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP.  

Sumber : Bernama/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan