Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Universiti Saudi nafi rampas telefon bimbit siswa wanita

Universiti Imam Muhammad Bin Saud di Riyadh menafikan laporan-laporan yang menyatakan bahawa ia merampas dan memeriksa telefon bimbit mahasiswa wanitanya di kampus.

Anggaran Waktu Membaca:
Universiti Saudi nafi rampas telefon bimbit siswa wanita

Gambar seseorang menggunakan telefon bijak. (Gambar fail: AFP/Kim Jae-Hwan)

Diterbitkan : 12 Oct 2017 08:26PM Dikemas Kini : 12 Oct 2017 08:37PM

RIYADH: Universiti Imam Muhammad Bin Saud di Riyadh menafikan laporan-laporan yang menyatakan bahawa ia merampas dan memeriksa telefon bimbit mahasiswa wanitanya di kampus.

Kenyataan dari ketua jabatan guamannya, Khaled Al-Youssif, menolak dakwaan yang dilakukan oleh beberapa mahasiswa wanita bahawa telefon bimbit mereka dirampas dan diperiksa untuk mencari mesej-mesej yang dikirim dari lelaki, semasa mereka memasuki kampus.

"Ini semua tidak benar. Pihak universiti tidak merampas dan membongkar alat-alat bijak mahasiswa," menurut beliau, dan mengancam untuk mengambil tindakan terhadap pertubuhan media yang menyebarkan dakwaan tersebut.

Encik Al-Youssif turut mengatakan bahawa tindakan yang dikenakan terhadap mahasiswa perempuan yang tidak berpakaian sopan dan memotong rambut pendek seperti lelaki, bukanlah untuk menghukum tetapi memastikan disiplin dalam kampus.

"Mereka yang melanggar tatacara pakaian dan stail rambut tidak lebih dari 0.025 peratus daripada sekitar 80,000 siswa di universiti ini," tambahnya.

Menurutnya juga, tindakan terhadap wanita yang melanggar peraturan ini adalah rahsia dan disemak kembali oleh konsultan-konsultan Shariah dan guaman di pejabat rektor, sebelum dikuatkuasakan.

Encik Al-Youssif turut mengatakan bahawa para mahasiswa mereka yang melakukan kesalahan kecil akan disuruh menandatangani afidavit untuk tidak melakukannya lagi.

"Jika peraturan dilanggar buat kali kelima, ia akan dirujuk kepada rektor untuk dikenakan hukuman yang bersesuaian, kebanyakannya berbentuk mendisiplin," tambahnya.

Beliau turut mengatakan universiti itu menjaga semua mahasiswa mereka supaya mereka menjadi warga yang berguna selepas selesai pengajian.

"Kami mempersiapkan mahasiswa kami dari segi agama, secara saintifik dan praktikal, serta menyokong mereka jika mereka mengalami masalah dalam pengajian mahupun kelakuan mereka," kata Encik Al-Youssif.

Beliau meminta mana-mana siswa wanita yang mempunyai aduan terhadap langkah-langkah yang dikenakan, supaya berjumpa dengan rektor.  

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan