Images
  • Roti canai kumbahan
    Petikan gambar dari video. (Gambar: Berita TV9/Facebook)

Uli roti canai atas penutup lubang kumbahan, restoran nasi kandar diarah tutup

ALOR STAR: Sebuah restoran nasi kandar di Jalan Seberang Perak dikenakan arahan tutup kedai selama 14 hari setelah para pekerjanya didapati menguli roti canai di atas penutup lubang kumbahan, di bahagian belakang restoran.

Restoran tersebut juga didapati menggoreng makanan menggunakan minyak yang sama selama dua hari, lapor laman New Straits Times (NST).

Arahan penutupan sementara itu juga dikenakan ke atas dua lagi cawangan restoran nasi kandar yang terletak di Lebuhraya Darul Aman dan Jalan Lencong Barat kerana gagal mematuhi syarat-syarat kebersihan. Pemeriksaan itu dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) semalam (10 Ogos).

Penolong Pengarah JAIK (Divisyen Pengurusan Halal) Rosyadah Ramli berkata dalam operasi yang dijalankan selaman empat jam, pihaknya memeriksa enam restoran nasi kandar di bandar itu.

"Daripada enam cawangan, tiga dikenakan arahan supaya segera menutup kedai selama 14 hari kerana gagal mematuhi syarat-syarat berkaitan amalan kebersihan.

"Sebahagian bahan-bahan mentah juga tidak ditutup dengan betul, mengundang tikus ke dapur restoran," kata beliau seperti yang ditukil NST.

Operasi itu dijalankan bersama Jabatan Kesihatan Kedah, Perdagangan Domestik, Kementerian Koperasi dan Kepenggunaan dan Majlis Bandar Alor Star (MBAS).

Semua tiga premis yang dikenakan arahan tutup kedai itu sudahpun diarahkan supaya menjalankan kerja-kerja pembersihan sebelum dibenarkan menyambung semula perniagaan, lapor NST.

- Agensi berita/NK/nk

Komen Anda?

Top