Images
  • Solat
    Umat Islam bersolat jemaah di masjid. (Gambar hiasan: SAEED KHAN / AFP)

Ulama Saudi: Umat Islam boleh beribadah di gereja dan rumah ibadah Yahudi

RIYADH: Seorang anggota kanan Dewan Ulama Arab Saudi Shaikh Abdullah bin Sulaiman Al-Manea berkata umat Muslim boleh beribadah di masjid Syiah atau Sufi bahkan juga di dalam gereja dan rumah ibadah Yahudi.

Harian Kuwait Al-Anba menukil beliau sebagai berkata Islam adalah sebuah agama yang menggalakkan toleransi dan kasih sayang dan bukannya kekerasan, sikap tidak toleran atau pengganasan.

Oleh itu, umat Muslim menurut Shaikh Al-Manea harus menyebarkan Islam yang sesungguhnya dan mengikuti tradisi toleransi terhadap pemeluk agama berlainan seperti yang dicontohkan Nabi Muhammad.

Al-Anba menukil Shaikh Al-Manea sebagai menambah Islam adalah agama yang mengajarkan kebersamaan bukan kekerasan dan menekankan umat Muslim walaupun berbeza kelompok tetapi memiliki prinsip-prinsip yang sama dalam hal akidah.

Mengenai Islam dengan agama lain, Al-Manea menjelaskan peristiwa ketika Nabi Muhammad menerima rombongan Kristian dari Najran di masjidnya. Menurut sejarah, baginda bukan sahaja menerima rombongan itu, malah turut mengizinkan mereka beribadah di dalam masjid dengan menghadap ke arah Baitulmakdis.

Shaikh Al-Manea menekankan bahawa Nabi Muhammad banyak memberatkan hal-hal yang baik dan memberi amaran kepada umatnya supaya menjauhi kemungkaran.

Pejabat Shaikh Al-Manea pernah menerbitkan fatwa 10 tahun lalu yang menegaskan bahawa orang Islam tidak dilarang masuk ke dalam gereja untuk mengetahui lebih mendalam mengenai tempat-tempat ibadah masyarakat bukan Islam.  

- Agensi berita/IB /nk

Komen Anda?

Top