Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Trump, Netanyahu setuju usaha damai Israel-Palestin dirunding secara langsung

Amerika Syarikat dan Israel bersetuju bahawa usaha damai Timur Tengah seharusnya dirundingkan secara langsung antara Israel dan Palestin.

Anggaran Waktu Membaca:
Trump, Netanyahu setuju usaha damai Israel-Palestin dirunding secara langsung

Gambar fail kombinasi Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Diterbitkan : 23 Jan 2017 08:30PM Dikemas Kini : 23 Jan 2017 08:33PM

WASHINGTON: Amerika Syarikat dan Israel bersetuju bahawa usaha damai Timur Tengah seharusnya dirundingkan secara langsung antara Israel dan Palestin.

Presiden baru Amerika Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah membincangkan hal itu menerusi perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin.

Encik Netanyahu telah menghubungi Presiden baru Amerika Donald Trump untuk mengucapkan tahniah atas perlantikannya.

Kedua-dua pemimpin juga membincangkan ancaman dari Iran.

Encik Trump telah mengikrarkan sokongan yang kuat kepada Israel.

Beliau juga berjanji untuk mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel meskipun status bandar itu masih dipertikaikan dengan Palestin.

Encik Trump telah mengundang Encik Netanyahu ke Rumah Putih bulan depan untuk rundingan lanjut.

Perkembangan itu berlaku beberapa jam selepas Israel meluluskan pembinaan lebih 560 unit perumahan di tiga petempatan di timur Baitulmakdis.

Kelulusannya telah ditangguhkan sehingga akhir tempoh Pentadbiran Obama.

Program pembinaan itu diteruskan oleh Israel meskipun Majlis Keselamatan PBB meluluskan ketetapan bulan lalu supaya Israel menghentikan serta merta pembukaan petempatan Yahudi yang baru di Baitulmakdis.

Petempatan-petempatan itu dibina di tanah yang dituntut Palestin sebagai sebahagian daripada wilayah yang akan menjadi negara Palestin.

Anggota Jawatankuasa Eksekutif Palestin, Hanan Ashrawi menuduh Israel mempergunakan kenyataan Trump semasa berkempen yang menyokong Israel, untuk menguatkan tuntutannya bagi mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel, sekali gus meluaskan petempatan Yahudi secara haram di wilayah yang ditawannya semasa perang 1967 .

Sejak kempen pilihan raya Amerika, Israel menaruh harapan Presiden Trump lebih terbuka menyokong program petempatan Israel, berbanding Pentadbiran Obama. 

Sumber : Reuters/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan