Images
  • najib trump
    Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menjemput ketibaan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak di Rumah Putih. (Gambar: Twitter/Malaysian Prime Minister's Press Office)

Trump, Najib bincang perjanjian perdagangan, pesawat Boeing

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Selasa (12 Sep) bahawa beliau dan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak berbincang mengenai perjanjian perdagangan besar dan satu urus niaga yang melibatkan pesawat Boeing dan memuji usaha PM Najib dalam membanteras pengganasan.

Bersama dengan Presiden Trump di Rumah Putih, PM Najib berkata beliau ingin melabur dalam program prasarana Presiden Trump dan Malaysia kekal komited dalam membanteras ISIS, Al Qaeda dan kumpulan pelampau yang lain.

Ketibaan PM Najib dialu-alukan Presiden Trump dalam mesyuarat empat mata di Rumah Putih yang terletak di Pennsylvania Avenue.

Ia adalah lawatan pertama PM Najib ke tempat kerja dan kediaman rasmi presiden Amerika itu.

Presiden Trump juga memuji "peranan penting" PM Najib dalam membanteras ISIS dan kumpulan militan lain.

Perbincangan dengan Presiden Trump adalah kemuncak lawatan kerja PM Najib ke Amerika dari 11 hingga 13 Sep atas undangan Presiden Amerika ke-45 itu yang memegang jawatan tersebut pada 20 Januari tahun ini.

Program di Rumah Putih itu termasuk mesyuarat delegasi yang melibatkan para anggota dan penasihat pentadbiran Presiden Trump dan juga para menteri dan pegawai kanan kerajaan Malaysia.

Kedua-dua pemimpin dijangka mengeluarkan kenyataan bersama selepas selesainya mesyuarat-mesyuarat Rumah Putih sedang Kuala Lumpur dan Washington meraikan hubungan dua hala selama 60 tahun pada tahun ini.

Disenaraikan sebagai para peserta mesyuarat delegasi Amerika adalah Naib Presiden Mike Pence, Setiausaha Negara Rex Tillerson, Setiausaha Pertahanan James Mattis, Ketua Turus Kakitangan Jeneral John Kelly, Penasihat Keselamatan Negara Leftenen Jeneral H R McMaster dan Penasihat Kanan Jared Kushner.

Para pengamat menarik perhatian bahawa senarai peserta mencerminkan pentadbiran Presiden Trump memberi perhatian penting kepada mesyuarat itu dalam membuka fasa baru dalam hubungan dengan Malaysia.

Delegasi Malaysia terdiri daripada Menteri Luar Anifah Aman, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Antarabangsa Mustapa Mohamed, Duta Besar ke Amerika Zulhasnan Rafique, Ketua Setiausaha Kerajaan Dr Ali Hamsa dan Pengarah Besar Majlis Keselamatan Negara Zulkifeli Mohd Zin. 

- CNA/RU/ru

Komen Anda?

Top