Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Trump mulakan lawatan ke Arab Saudi, Israel dan Itali esok

Presiden Donald Trump akan memulakan lawatan pertamanya ke luar negeri esok (20 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 May 2017 09:09PM Dikemas Kini : 20 May 2017 01:43AM

WASHINGTON: Presiden Donald Trump akan memulakan lawatan pertamanya ke luar negeri esok (20 Mei).

Beliau akan ke Arab Saudi, Israel dan Itali untuk mendekati para penganut Islam, Yahudi dan Kristian.

Bagaimanapun, lawatan itu kini terjejas oleh tengkarah yang sedang membelenggu pentadbiran beliau.

Ia berkaitan dakwaan bahawa pasukan kempennya bekerjasama dengan Rusia bagi memastikan beliau menang pilihan raya presiden tahun lalu.

Bercakap dalam sidang media dengan Presiden Colombia yang sedang melawat Amerika, Presiden Trump mengulangi kenyataannya bahawa tiada pakatan antara pasukan kempen pilihan raya beliau tahun lalu dengan pihak Rusia.

Presiden Trump juga memberikan reaksinya kepada pelantikan Encik Mueller sebagai Pendakwa Khas untuk menyiasat kes itu.

Beliau berkata: "Saya menghormati langkah itu tetapi saya berpendapat apa yang berlaku adalah fitnah dan tiada pakatan kerjasama antara saya, pasukan kempen saya dengan pihak Rusia. Saya berpendapat ia akan memecah belahkan negara. Saya berpendapat kita kini mempunyai sebuah negara yang berpecah belah kerananya dan banyak hal lain."

Presiden Trump turut menafikan mendesak mantan Ketua FBI, James Comey supaya menghentikan siasatan terhadap bekas Penasihat Keselamatan Negara, Michael Flynn berhubung isu yang sama.

Bagaimanapun para anggota dari kedua-dua Dewan Kongres meminta supaya siasatan bebas dilakukan terhadap dakwaan itu.

Sejumlah individu sudahpun diarah memberi keterangan kepada beberapa jawatankuasa Kongres yang menyiasat kes tersebut.

Sumber : CNA/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan