Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Trump beri amaran konflik "besar" dengan Korea Utara

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump hari ini (28 Apr) berkata satu konflik besar mungkin tercetus antara negara itu dengan Korea Utara setelah menemui jalan buntu berhubung program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.

Anggaran Waktu Membaca:
Trump beri amaran konflik "besar" dengan Korea Utara

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 28 Apr 2017 05:12PM Dikemas Kini : 28 Apr 2017 05:14PM

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump hari ini (28 Apr) berkata satu konflik besar mungkin tercetus antara negara itu dengan Korea Utara setelah menemui jalan buntu berhubung program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.

Sekalipun begitu, Encik Trump menegaskan beliau masih memilih huraian diplomatik dalam pertelingkahan tersebut.

"Kita mungkin berdepan konflik yang amat besar dengan Korea Utara," Encik Trump memberitahu Reuters dalam satu wawancara di Pejabat Meja Bundar beliau dua hari sebelum hari ke-100 menyandang jawatan sebagai Presiden Amerika Syarikat.

Namun, Encik Trump berkata beliau mahu menghuraikan krisis itu secara aman, yang sekian lama membelenggu beberapa presiden Amerika Syarikat sebelum ini.

Ini adalah langkah yang beliau dan pentadbirannya tekankan menerusi pelbagai sekatan baru ekonomi namun tidak menafikan tindakan tentera masih lagi salah satu pilihan.

"Kami mahu menghuraikan isu secara diplomatik, tetapi ia sukar dilakukan," kata beliau.

Dalam pada itu, Encik Trump memuji Presiden China Xi Jinping atas bantuan negara itu yang cuba mengawal Korea Utara. Kedua-dua pemimpin bertemu secara empat masa di Florida awal bulan ini.

"Saya yakin beliau sedang berusaha bersungguh-sungguh. Jelas sekali beliau tidak mahu keadaan huru-hara dan pertumpahan darah berlaku. Beliau tidak mahu menyaksikannya. Beliau seorang yang baik. Beliau seorang yang begitu baik dan saya dapat mengenalinya dengan lebih dekat.

"Beliau mencintai China dan beliau mencintai rakyat China. Saya tahu beliau mahu melakukan sesuatu (berhubung isu ini), mungkin ia boleh dilakukan tetapi beliau tidak dapat melakukannya," kata Encik Trump.

Encik Trump berkata demikian sehari setelah beliau dan para penasihat kanan keselamatan negara memberi taklimat kepada para penggubal undang-undang Amerika Syarikat berhubung ancaman Korea Utara dan sehari sebelum Setiausaha Negara Rex Tillerson menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai sekatan-sekatan yang menghalang Pyongyang meneruskan program nuklear dan peluru berpandu.

Para hari Rabu (26 Apr) pentadbiran Encik Trump mengisytiharkan Korea Utara sebagai "ancaman serius terhadap keselamatan negara dan menjadi keutamaan dalam dasar ehwal luar".

Ia juga menyatakan pihaknya sedang menumpukan perhatian kepada tekanan ekonomi dan diplomatik, termasuk kerjasama China mengawal negara jiran yang juga sekutunya yang enggan bekerjasama, dan ia masih lagi terbuka kepada rundingan.

Menurut para pegawai Amerika Syarikat, tindakan tentera masih lagi satu pilihan tetapi menyatakan ia bukan pilihan utama, meskipun pihak pentadbiran negara itu sudahpun mengerahkan kapal induk yang membawa pesawat dan kapal selam yang dijana tenaga nuklear ke rantau tersebut sebagai menunjukkan kuasanya.

Sebarang tindakan langsung oleh tentera Amerika Syarikat berisiko mencetuskan reaksi tindak balas dari Korea Utara dan mungkin menyebabkan jumlah korban yang tinggi di Jepun dan Korea Selatan serta di kalangan tentera di kedua-dua negara.

Encik Trump ditanya sama ada beliau menganggap pemimpin Korea Utara Kim Jong Un sebagai seorang yang berfikiran munasabah, berkata beliau menganggap Kim sebagai rasional. Encik Trump menambah Kim memimpin negaranya pada usia yang muda.

"Beliau berusia 27 tahun. Bapanya meninggal dunia dan beliau mengambil alih rejim negaranya. Anda boleh katakan apa saja, namun bukan mudah, lebih-lebih bagi dirinya pada usia semuda itu.

"Saya bukan menyanjung atau tidak menyanjung beliau. Saya cuma katakan ia adalah satu tanggungjawab berat dan bukan mudah. Sama ada beliau rasional atau tidak, saya tidak dapat memberikan jawapan. Saya harap beliau seorang yang rasional," kata Encik Trump.  

Sumber : Reuters/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan