Images
  • trump (1)
    Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. (Gambar: REUTERS/Kevin Lamarque)

Trump ancam tindak balas ke atas Pyongyang kerana mahu serang Guam

AMERIKA SYARIKAT: Presiden Donald Trump mengancam akan bertindak balas jika Korea Utara menyerang Guam atau negara-negara sekutu Amerika yang lain.

Beliau menegaskan demikian selepas Pyongyang semalam (10 Ogos) mendedahkan rancangan untuk menyerang Guam dengan empat peluru berpandu jarak sederhana jika ada tindakan provokasi dari Amerika.

Terletak di Lautan Pasifik, Guam merupakan sebuah wilayah Amerika.

Ia mempunyai 162,000 penduduk dan di pulau itu terletak sebuah pangkalan tentera Amerika.

"Rakyat negara kita selamat, sekutu-sekutu kita selamat. Saya mahu memberitahu anda - Korea Utara perlu berhati-hati dengan tindak-tanduknya. Jika tidak ia akan mengalami masalah besar seperti beberapa negara lain," kata Encik Trump.

Meskipun Presiden Trump mengeluarkan kata-kata bernada perang, Setiausaha Pertahanannya, James Mattis menekankan beliau lebih cenderung jika ketegangan sekarang dapat diatasi menerusi saluran diplomatik.

Sungguhpun begitu Encik Mattis menegaskan tentera Amerika sudah siap untuk menangkis ancaman Korea Utara.

"Saya mahu menegaskannya di sini - tragedi akibat perang sudah diketahui umum. Ia hanya membawa bencana," kata Encik Mattis.

Media China melaporkan Beijing akan mengamalkan sikap berkecuali sekiranya Korea Utara memulakan serangan yang mengancam Amerika.

Sebaliknya China akan bertindak untuk menghentikannya jika Amerika yang memulakan serangan dan cuba menggulingkan pemerintah Korea Utara.

Akhbar Global Times juga menyatakan Beijing tidak dapat meyakinkan Washington dan Pyongyang supaya saling berusaha untuk meredakan ketegangan sekarang. 

- Agensi berita/MU/nk

Komen Anda?

Top