Images
  • malaysia taxi
    Teksi di Malaysia. (Gambar fail)

Tidak mampu bayar tambang teksi RM400, penumpang diminta tidur dengan pemandu

PETALING JAYA: Seorang pemandu teksi didakwa mengenakan tambang RM400 (S$128) ke atas seorang penumpang bagi perjalanan yang kurang dari 76 kilometer. Pemandu tersebut turut meminta penumpang untuk tidur bersamanya jika tidak mampu membayar tambang.

Menurut laporan China Press, insiden yang berlaku pada 7.00 pagi 6 Oktober lalu, penumpang tersebut pada awalnya ingin menggunakan khidmat Grab.

Namun demikian, beliau dipujuk oleh seorang pemandu teksi untuk menggunakan khidmatnya kerana tambang teksi jauh lebih rendah kerana pemandu tersebut mendakwa dia menggunakan meter.

Mangsa, seorang wanita berusia 54 tahun, bersetuju dan menaiki teksi tersebut. Semasa berada di dalam teksi, mangsa perasan pemandu menutup meternya dengan sehelai kain.

"Saya tanya dia kenapa tutup meter. Dia asyik mengelak topik untuk mengalihkan perhatian saya," kata mangsa itu.

Apabila tiba di destinasinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Seksyen 10 Wangsa Maju, pemandu tersebut meminta tambang RM400 (S$128). Mangsa hanya mampu untuk membayar RM100 (S$32) sahaja.

Pemandu tersebut turut meminta nombor telefon mangsa dan tidak membenarkannya keluar dari kereta jika tidak membayar baki tambang melalui pemindahan wang ke dalam akaunnya.

“Saya terpaksa memberi nombor telefon saya kepadanya. Petang itu, dia menelefon saya dan tanya kenapa tidak masukkan wang.

“Malah, dia ugut akan menyiarkan gambar saya dalam laman media sosial dengan melabelkan saya penipu. Dia juga bergurau jika tiada wang boleh tidur dengannya untuk menggantikan hutang itu.” dedah mangsa.

Wanita itu turut mendakwa pemandu teksi menelefonnya sebanyak tujuh kali mendesak memberikan wang kepadanya.

Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju pada 2.00 petang hari yang sama.  

- Agensi Berita/FA/fa

Komen Anda?

Top