Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tiada kesan kelecuran pada mayat nahas AirAsia

Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Polis Jawa Timur berkata mereka tidak menemui sebarang kesan kelecuran pada mayat-mayat nahas pesawat AirAsia QZ8501, yang terhempas di Laut Jawa, Ahad lalu, menurut laporan The Jakarta Post.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Jan 2015 06:59PM Dikemas Kini : 08 Jan 2015 02:44AM

JAKARTA: Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Polis Jawa Timur berkata mereka tidak menemui sebarang kesan kelecuran pada mayat-mayat nahas pesawat AirAsia QZ8501, yang terhempas di Laut Jawa, Ahad lalu, menurut laporan The Jakarta Post.

Pengarah Eksekutif DVI Polis Nasional Indonesia, Pesuruhjaya Kanan Anton Castelani berkata, mayat-mayat itu berada dalam keadaan sempurna, justeru pesawat malang itu dipercayai tidak terbakar atau meletup sebelum terhempas ke dalam laut.

QZ8501 ketika itu membawa 162 penumpang dan anak kapal. MediaCorp melaporkan dua lagi mayat ditemui hari ini, masing-masing oleh kapal Jepun JS Onami dan kapal Malaysia KD Kasturi. Ini menjadikan keseluruhannya 39 mayat dijumpai sejauh ini, selepas operasi mencari masuk hari ke-10.

Kata Pesuruhjaya Kanan Anton: "Tiada kesan kelecuran dikesan pada mayat-mayat. Berkenaan laporan (bagaimana pesawat QZ8501 terhempas), Suruhanjaya Keselamatan Pengangkutan Nasional Indonesia (KNKT) akan mengeluarkannya."

Beliau menambah mayat-mayat berkenaan menunjukkan tanda-tanda reput yang teruk, justeru sukar bagi pasukan DVI mengenal pasti identiti mangsa.

"Dalam kes seperti ini, kami akan menggunakan cara-cara mengenal pasti identiti mayat, seperti menerusi DNA dan gigi mereka. Kami tidak begitu risau tentang proses kereputan, mayat masih boleh dikenal pasti," tambah beliau.

Pasukan DVI hari ini mengenal pasti identiti tiga lagi mayat. Ini menjadikan keseluruhannya 16 daripada 37 mayat, yang ditemui di Selat Karimata di Laut Jawa, dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga mereka untuk dikebumikan.

Ketiga-tiga mangsa tersebut dikenal pasti sebagai Encik Indra Yulianto, 51 tahun, yang tinggal di Probolinggo di Jawa Timur, Encik Hindarto Halim, 61 tahun, dan Encik Jou Brian Youvito, pelajar berusia 19 tahun, yang kededuanya tinggal di Surabaya.

USTAZ BERDOA AGAR BAKI MAYAT DITEMUI

Sementara itu, Detiknews.com melaporkan lapan ustaz diterbangkan menggunakan helikopter ke lokasi di mana pesawat dipercayai terhempas di Laut Jawa, pagi tadi.

Mereka membaca doa sebagai ikhtiar untuk memudahkan usaha penemuan mayat mangsa dan agar proses mencari bangkai pesawat berjalan lancar.

Sumber : Agensi berita/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan