Images
  • malaysia breach nkorea murder
    Kim Jong Nam (dalam sut kelabu) diserang dengan agen berbahaya di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur pada 13 Februari. (Gambar: AFP)

Tiada kelemahan keselamatan dalam pembunuhan Kim Jong Nam, tegas timbalan menteri

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri Malaysia menolak keras dakwaan yang mengatakan bahawa terdapat kelemahan dalam sistem pemantauan keselamatan yang menyebabkan Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, mati dibunuh di Malaysia.

Bercakap di parlimen pada Isnin (20 Mac), Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed berkata tidak mungkin kerajaan mendapat tahu bahawa Kim sudah memasuki Malaysia kerana beliau menggunakan pasport dengan nama Kim Chol.

Seramai tujuh warga Korea Utara dikehendaki polis Malaysia yang dipercayai ada kaitan dengan pembunuhan Kim Jong Nam pada 13 Februari. Empat daripada mereka dikhabarkan sudah pulang ke Pyongyang, manakala tiga yang lain dipercayai masih bersembunyi di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata pada Ahad bahawa polis akan menyoal siasat lebih ramai suspek Korea Utara dalam masa beberapa hari akan datang, termasuk "seorang individu penting", yang identitinya enggan didedahkan oleh ketua polis tersebut.

Ejen-ejen Korea Utara dilaporkan sedang menjalankan siasatan mereka sendiri terhadap insiden itu setelah polis Malaysia menolak saranan untuk menjalankan siasatan bersama.

Salah seorang daripada suspek-suspek pembunuhan itu, seorang wanita warga Indonesia berusia 25 tahun bernama Siti Aisyah, mendakwa dia dibayar oleh seorang lelaki Korea Utara yang muda dan kacak, yang hanya dikenali sebagai James, untuk mengusik orang-orang yang tidak dikenali bagi sebuah rancangan televisyen realiti.

Sumber-sumber mendedahkan dia berjumpa James buat kali pertama di Beach Club di Kuala Lumpur pada Januari dan kemudian mengikutnya ke Kemboja. Di Phnom Penh, dia dikatakan berjumpa dengan seorang lagi warga Korea Utara, Hong Song Hac, yang didakwa memberinya minyak untuk ditekup pada muka Kim.

Hong, bersama tiga warga Korea Utara yang lain, kini tersenarai dalam notis merah Interpol setelah dipercayai ada kaitan dengan pembunuhan tersebut.

- CNA/im

Komen Anda?

Top