Images
  • Thailand Patong
    Pantai Patong di Phuket. (Gambar: Panu Wongcha-um)

Thailand haramkan merokok di 20 pantai popular

THAILAND: Thailand merancang untuk menguatkuasakan larangan merokok di 20 pantai popular di kalangan pelancong, termasuk Phuket dan Krabi, menurut laporan Bangkok Post pada Selasa (10 Okt).

Bermula bulan depan, mereka yang ditangkap merokok di pantai-pantai tersebut boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga setahun atau didenda 100,000 baht (S$4,083).

Langkah itu diambil selepas Jabatan Laut dan Sumber Pantai negara tersebut memeriksa kawasan seluas sembilan meter persegi di sekitar Pantai Patong di Phuket dan mendapati purata 0.76 puntung rokok dibuang bagi setiap meter persegi, demikian didedahkan laporan itu.

Ini bermakna, sebanyak 101,058 puntung rokok ditemui di pantai sepanjang 2.5 kilometer itu.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan itu, Jatuporn Buruspat, lebih 100 juta puntung rokok ditemui di jalan-jalan raya paling sibuk di Thailand. Ini boleh menyebabkan banjir kerana longkang-longkang tersumbat ekoran puntung rokok yang dibuang sembarangan.

Larangan merokok itu akan berkuat kuasa di beberapa destinasi popular seperti Koh Samui, Pattaya, Hua Hin dan Patong bermula November ini.

Menurut Encik Buruspat, larangan merokok tersebut juga akan diperluaskan ke semua pantai di Thailand pada masa akan datang.

- CNA/SM/sm

Komen Anda?

Top