Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tentera Myanmar keluarkan laporan, nafi dakwaan salah laku di Rakhine

Tentera Myanmar mendedahkan satu laporan, yang menafikan semua tuduhan salah laku ke atas kaum Rohingya di wilayah Rakhine.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Nov 2017 06:35PM Dikemas Kini : 14 Nov 2017 11:26PM

YANGON: Tentera Myanmar mendedahkan satu laporan, yang menafikan semua tuduhan salah laku ke atas kaum Rohingya di wilayah Rakhine.

Dapatan laporan itu adalah berdasarkan siasatan dalaman tentera Myanmar.

Laporan tersebut dikeluarkan beberapa hari selepas pihak tentera menggantikan seorang jeneral yang bertanggungjawab ke atas operasi di Rakhine, sehingga menyebabkan kira-kira 600,000 penduduk Islam melarikan diri ke Bangladesh.

Tiada sebab rasmi diberikan atas tindakan menggantikan jeneral terbabit.

Menurut tentera Myanmar, siasatan itu dijalankan berdasarkan wawancara dengan sekitar 3,000 penduduk dari sekitar 54 kampung kaum Rohingya.

Mereka mendakwa pasukan keselamatan Myanmar tidak menembak para penduduk kampung atau memperkosa kaum wanita Rohingya.

Laporan tentera itu juga menyimpulkan tiada "kekerasan melampau" yang digunakan semasa operasi tentera di wilayah Rakhine itu, Ogos lalu.

Pihak berkuasa Myanmar menyatakan bahawa pihak tentera sekadar mengetatkan kawalan keselamatan untuk mengekang kegiatan pengganas.

Bercakap di Sidang Puncak ASEAN di Manila, Filipina, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, tetap melahirkan kebimbangan tentang layanan pihak berkuasa Myanmar ke atas kaum Rohingya.

Beliau menyifatkan pembanjiran ribuan pelarian Rohingya ke Bangladesh, menjadi sumber keadaan yang tidak stabil di rantau ini.

Setiausaha Negara Amerika Rex Tillerson dijangka ke Myanmar esok (15 Nov) untuk membincangkan isu tersebut dengan para pemimpinnya.

Amnesty International sudahpun menolak laporan tentera Myanmar itu dan sebaliknya menyeru agar satu misi khas PBB atau pasukan penyiasat bebas, diberikan kebenaran untuk ke wilayah Rakhine.

Pertubuhan tersebut juga mendakwa terdapat bukti-bukti tentang pembunuhan dan pemerkosaan kaum Rohingya serta pembakaran kampung-kampung mereka.

Wakil Khas Setiausaha Agung PBB, Pramila Patten, pula berkata bahawa beliau akan membawa isu itu ke Mahkamah Antarabangsa. 

Sumber : CNA/AA/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan