Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Suu Kyi: Fokuskan kepada huraikan masalah Rakhine, bukan gembar-gemburkannya

Di sebalik tuduhan dari seluruh dunia bahawa tentera Myanmar sedang mengambil tindakan keras terhadap masyarakat Muslim Rohingya di Rakhine, Penasihat Negara Myanmar Aung San Suu Kyi berkata beliau mahu memperbaiki keadaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Suu Kyi: Fokuskan kepada huraikan masalah Rakhine, bukan gembar-gemburkannya

Penasihat Negara Myanmar Aung San Suu Kyi bercakap kepada Lin Xueling dari Channel NewsAsia. (Gambar: Winnie Goh)

Diterbitkan : 02 Dec 2016 09:30PM Dikemas Kini : 02 Dec 2016 09:36PM

SINGAPURA: Di sebalik tuduhan dari seluruh dunia bahawa tentera Myanmar sedang mengambil tindakan keras terhadap masyarakat Muslim Rohingya di Rakhine, Penasihat Negara Myanmar Aung San Suu Kyi berkata beliau mahu memperbaiki keadaan.

Ditanya sama ada masalah itu sukar diselesaikan, Cik Suu Kyi berkata tidak.

"Kami berjaya memastikan situasi terkawal dan meredakannya.

"Namun saya akan amat menghargainya sekiranya masyarakat antarabangsa dapat membantu kami mengekalkan keamanan dan kestabilan dan membuat kemajuan dalam menjalin hubungan lebih baik antara kedua-dua masyarakat, dan bukan sentiasa mencetuskan seruan untuk meluap-luapkan kemarahan," katanya.

"TIDAK MEMBANTU JIKA HANYA FOKUS SUDUT NEGATIF"

Berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama Lin Xueling dari Channel NewsAsia hari ini (2 Dis) semasa lawatan rasminya ke Singapura, penerima Hadiah Keamanan Nobel itu menyeru agar masyarakat antarabangsa memahami keadaan itu dan menjelaskan bahawa isu itu adalah isu yang amat sensitif.

"Bukan hanya orang Islam yang bimbang dan rasa tegang. Rakhine juga bimbang, bimbang bahawa penduduk Rohingya sedang menguncup dari segi peratusan, dan tentunya, kami tidak mengabaikan hakikat bahawa hubungan antara kedua-dua masyarakat tidak baik dan kami mahu cuba memperbaikinya.

"Tapi ia tidak membantu jika semua orang hanya tertumpu pada sudut negatif situasi itu meskipun hakikatnya serangan-serangan dilancarkan terhadap pos-pos pegawal polis yang bermula pada 9 Oktober," kata Cik Suu Kyi.

Serangan-serangan tersebut dipersalahkan pada "pengganas-pengganas" meskipun pemerintah sebelum ini menuding jari pada Pertubuhan Perpaduan Rohingya, dan sejak itu, pasukan tentera dikerahkan dekat sempadan dengan Bangladesh, yang sebahagian besarnya adalah tempat tinggal masyarakat minoriti Rohingya.

RIBUAN LARIKAN DIRI, LEBIH RAMAI SUSPEK DIBURU

Ribuan sudah melarikan diri dari rumah mereka sedang pasukan-pasukan keselamatan memburu lebih ramai suspek yang mungkin menyembunyikan diri. Tentera Myanmar sudah menafikan laporan-laporan para aktivis bahawa warga biasa dibunuh, dirogol secara beramai-ramai atau rumah-rumah mereka dibakar.

Apabila wartawan menarik perhatian bahawa masyarakat antarabangsa bukan satu-satunya punca masalah itu, Cik Suu Kyi berkata: "Saya tahu. Saya bukan berkata tiada kesukaran, tapi ia membantu jika orang ramai mengiktiraf kesukaran ini dan lebih ramai fokus terhadap menyelesaikan kesukaran-kesukaran ini dan bukan membesar-besarkannya hingga semuanya kelihatan lebih dahsyat daripada apa yang sebenarnya berlaku."

PENILAIAN TENTANG PENTADBIRANNYA

Antara natijah yang disenangi pemimpin Myanmar itu ialah "hakikat bahawa para menteri tidak makan rasuah", kata Cik Suu Kyi apabila ditanya apa yang paling beliau berpuas hati dalam sembilan bulan sejak pentadbirannya mengambil alih kuasa negara itu.

Bagaimanapun, beliau mengambil perhatian bahawa "sesetengah pegawai lebih muda masih belum mencapai prestasi yang kami inginkan."

Cik Suu Kyi melahirkan harapan bahawa keadaan boleh diperbaiki, dan mendapat inspirasi daripada contoh Singapura: "Apabila saya bertemu dengan biro siasatan amalan rasuah anda, mereka berikan saya sekeping kertas. Salah satu perkara yang tertulis, ialah rasuah wujud dalam kehidupan, bukan cara hidup. Saya amat sukakannya, kerana inilah caranya di negara kami.

"Rakyat menerima ini bukan cara kehidupan, meskipun mereka sedar ia wujud dalam kehidupan, dan ini bermakna amalan rasuah masih belum tersemat dalam budaya kami dan ia amat menggalakkan."

Tentang perjalanan Myanmar daripada dipimpin pihak tentera selama setengah abad hingga menjadi pemerintah yang dipilih secara demokratik dan dipimpin rakyat biasa, Cik Suu Kyi, meskipun merupakan antara ikon demokrasi paling terkemuka dunia, menegaskan ia bukan usahanya seorang sahaja.

"Saya harus sentiasa mengingatkan orang ramai bahawa saya ditahan dalam rumah selama 15 tahun dan mereka (tentera) dapat mengekalkan sokongan orang awam ketika tempoh itu, dan parti kami terus bertahan meskipun menghadapi kesukaran dahsyat.

"Jadi, anda tidak harus memandang rendah kebolehan ramai anggota biasa parti politik kami, dan para anggota kami ialah orang awam, dan kami amat rapat dengan orang awam," kata Cik Suu Kyi.

Beliau optimis bahawa Myanmar, dan sesiapa sahaja penggantinya, akan dapat terus kekal di laluan demokrasi.

"Betapa berjayanya saya sebagai seorang pemimpin, akan ditentukan dengan bagaimana saya mampu membuatkan diri saya tidak lagi diperlukan. Dan saya berharap saya dapat menjadikan diri saya benar-benar tidak diperlukan, jadi mereka tidak memerlukan saya terus bertugas, sama ada parti saya mahupun negara saya," katanya.

Wawancara eksklusif ini akan disiarkan sepenuhnya dalam rancangan 'Conversation With' di Channel NewsAsia pada 8 Disember, jam 8.00 malam. 

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan