Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Suspek pengganas rancang serangan lebih besar, dedah polis Sepanyol

Suspek-suspek dalam dua serangan pengganas di Sepanyol sudah merancang untuk melancarkan serangan yang lebih besar berbanding insiden rempuhan kereta yang dilakukan.

Anggaran Waktu Membaca:
Suspek pengganas rancang serangan lebih besar, dedah polis Sepanyol

Jambangan bunga, mainan dan mesej-mesej yang diletakkan sebagai memperingati mangsa serangan Barcelona. (Gambar: AFP/Josep Lago)

Diterbitkan : 19 Aug 2017 08:24AM Dikemas Kini : 19 Aug 2017 08:28AM

BARCELONA: Suspek-suspek dalam dua serangan pengganas di Sepanyol sudah merancang untuk melancarkan serangan yang lebih besar berbanding insiden rempuhan kereta yang dilakukan.

Demikian menurut polis semalam (18 Ogos), sedang lebih banyak maklumat tentang keluarga-keluarga yang terpisah akibat insiden tersebut dikeluarkan.

Menurut polis, mereka sudahpun menembak mati lima "individu yang disyaki pengganas", yang merempuh para pejalan kaki di sebuah tempat peranginan tepi pantai di Cambrils dalam serangan kedua awal pagi semalam. Lagi empat suspek pula diberkas sedang Sepanyol berdepan dengan insiden keganasan yang membawa maut itu.

Polis daerah Catalonia mengenal pasti tiga daripada suspek yang ditembak mati sebagai rakyat Maghribi - Moussa Oukabir, 17 tahun, Said Aallaa, 18 tahun, dan Mohamed Hychami, 24 tahun.

Menurut polis lagi, mereka mengesyaki seramai 12 orang terlibat dalam serangan tersebut: lima daripadanya sudah dibunuh, empat sudah diberkas dan lagi tiga individu sudah dikenal pasti namun masih berleluasa.

Dalam siasatan rumit yang dijalankan dengan begitu pantas, polis mendedahkan para suspek sebenarnya merancang untuk melancarkan serangan yang lebih besar.

RANCANG SERANGAN LEBIH BESAR

"Mereka merancang untuk melancarkan satu atau beberapa serangan di Barcelona namun disebabkan satu insiden letupan di Alcanar mereka membatalkannya kerana mereka tidak lagi mempunyai bahan yang diperlukan untuk melancarkan serangan-serangan yang lebih besar," kata polis Catalonia Josep Lluis Trapero.

Beliau merujuk kepada letupan di sebuah rumah di bandar Alcanar, sekitar 200 kilometer ke selatan Barcelona, yang berlaku pada pagi Rabu (16 Ogos), yang menyebabkan satu orang terkorban.

Insiden letupan itu pada awalnya dikaitkan dengan letupan gas, namun polis kemudian mengaitkannya dengan serangan di Barcelona. Polis percaya penduduk di rumah itu sedang menyiapkan sebuah alat letupan namun ia meletus tanpa disengajakan. Setakat ini, sasaran letupan itu masih belum jelas.

Menurut Encik Trapero, selepas itu para suspek segara melancarkan serangan-serangan yang "lebih mudah".

Ini termasuk menggunakan kenderaan untuk merempuh para pejalan kaki di Barcelona dan Cambrils.

Suspek-suspek serangan Cambrils juga membawa kapak dan pisau di dalam kereta serta memakai tali pinggang yang dipasang bahan letupan palsu.

'PENYELARASAN TINGGI'

Kedua-dua serangan di Sepanyol itu menggunakan modus operandi yang sama.

Para pemandu sengaja menyasarkan para pejalan kaki. Ini adalah insiden terbaru dalam siri serangan yang seumpamanya di Eropah.

Resort Mediteranean di Nice Perancis juga pernah diserang sedemikian pada 14 Julai 2016, apabila seorang lelaki memandu sebuah lori dan merempuh orang ramai. Ini menyebabkan 86 orang terbunuh.

Encik Otso Iho dari Pusat Pengganasan dan Pemberontakan Jane berkata, serangan yang berlaku di dua bandar di Sepanyol menunjukkan "penyelarasan lebih tinggi berbanding serangan-serangan yang pernah berlaku sebelum ini".

Ini juga dipercayai kali pertama ISIS mendakwa bertanggungjawab atas serangan di Sepanyol.

Dalam suasana yang memilukan itu, Perdana Menteri Mariano Rajoy, Raja Felipe ke-6 dan Presiden Catalonia, bertafakur selama seminit di Barcelona, di mana kedua-dua insiden berlaku. Ini disusuli tepukan dan sorakan "kami tidak gentar" oleh orang ramai.

Sekalipun begitu, tanda-tanda ketegangan yang mula tercetus akibat serangan itu boleh dilihat apabila sekitar 20 anggota kumpulan berhaluan kanan cuba menunjuk perasaan. Sebahagian daripada mereka menjulang papan-papan tanda yang menyatakan "Tiada lagi masjid" atau "Pelarian tidak dialu-alukan lagi". 

Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan