Images
  • moon mosque
    Gambar hiasan. (AFP PHOTO/ANWAR AMRO)

Suspek larikan beg ketika jemaah sedang sujud

PULAU PINANG: Seorang wanita menjadi sasaran pencuri apabila beg tangannya yang diletakkan di hadapan sejadah dilarikan oleh seorang lelaki muda.

Insiden tersebut berlaku ketika beliau sedang menunaikan solat di Masjid An-Nur, Guar Perahu di Bukit Mertajam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata semalam (19 Mac), mangsa, 54 tahun, seorang pegawai teknologi maklumat Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya mengalami kerugian lebih RM800 (S$250).

Begnya mengandungi wang tunai RM350 (S$110), telefon bimbit, kad pengenalan, kad bank serta lesen memandu, menurutnya.

Kata Nik Ros Azhan, wanita itu baru sahaja pulang daripada menghadiri kenduri dan singgah di masjid itu untuk menunaikan solat Maghrib.

"Wanita itu meletakkan beg tangannya berwarna merah di hadapan sejadah dan selepas selesai solat menyedari begnya tiada lagi di situ," kata Nik Ros Azhan.

Beliau berkata semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid itu mendapati seorang lelaki yang memakai helmet bervisor sudah menunggu di tepi pintu masjid.

Ketika jemaah sedang sujud suspek meluru masuk serta melarikan beg wanita tersebut.

Nik Ros Azhan berkata usaha mengesan lelaki yang dipercayai berusia lingkungan 20-an itu giat dijalankan.

Polis juga akan mendapatkan rakaman CCTV di sekitar kawasan berkenaan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

- BERNAMA/im

Komen Anda?

Top